Berbaki kira-kira seminggu sahaja lagi untuk kita semua, umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri. Mesti teruja untuk menyambutnya bersama keluarga dan saudara mara di samping menikmati pelbagai juadah hari raya yang enak.
Dengar saja rendang, lemang, lontong serta kuah kacang pasti akan membangkitkan selera. Begitu juga pelbagai jenis kuih raya klasik dan moden.
Semasa bulan Ramadan, kita semua pasti akan mengawal pemakanan bagi mendapatkan berat badan ideal. Namun, apabila syawal menjelma semua seakan lupa akan tabiat pemakanan yang diamalkan sebelum ini.
Oleh itu, bagi memastikan berat badan kekal ideal semasa Syawal, apa kata kita sediakan juadah raya kita dengan menu yang lebih sihat tanpa menghilangkan mood raya dengan mempraktikkan langkah berikut.
1. Mengurangkan lemak dalam masakan
- Gantikan penggunaan santan dengan susu cair/susu tanpa lemak
- Daging/ayam dipotong kecil dan segala lemak/kulit yang ada pada ayam/daging dibuang
- Buang lemak dari sup ekor/tulang - sejukkan dan buang lemak beku
- Elakkan menggoreng semula makanan
- Gunakan tisu/kertas penyerap minyak
- Pastikan minyak betul-betul panas
- Gunakan kaedah memasak yang sihat (tanpa menggunakan minyak atau kurangkan minyak).
2. Kurangkan penggunaan gula semasa memasak
- Elakkan penambahan gula semasa menghidangkan makanan
- Elak menyalut kek/kuih raya dengan gula/ising
- Elak menambah gula dalam jus buah-buahan
- Kurangkan penggunaan susu pekat manis
- Kurangkan penggunaan gula dalam bancuhan/adunan kuih raya/kek
3. Penyediaan makanan rendah garam
- Kurangkan penggunaan garam semasa menyedia dan memasak makanan
- Elak menabur garam semasa menghidangkan makanan
- Hadkan penggunaan sos cili/tomato/kicap/tiram serta serbuk perasa
- Kurangkan kekerapan menghidangkan telur masin, ikan masin, sayur jeruk dan makanan diproses
4. Kurangkan penggunaan pewarna dalam masakan
- Gunakan pewarna semula jadi dari tumbuh-tumbuhan seperti daun pandan untuk mendapatkan warna hijau dan bunga telang untuk mendapatkan warna biru.
5. Banyakkan minum air kosong serta mengurangkan air berkarbonat dan manis
- Minum air putih dalam kuantiti lapan gelas setiap hari akan melancarkan sistem pencernaan dan membuang toksin. Ia boleh mengelak daripada mendapat sembelit malah pembakaran kalori juga akan berlaku dengan berkesan, malah sangat bagus untuk menjaga kesihatan kulit.
- Sekiranya mahu menyediakan minuman panas, asingkan gula supaya tetamu boleh mengambil sendiri gula mengikut keperluan mereka.
6. Amalkan makan buah sebagai snek dan pencuci mulut
- Buah-buahan mengandungi serat yang tinggi. Makanan berserat membantu melawaskan makanan yang dimakan dan mengelak berlakunya sembelit apabila kita makan banyak di rumah terbuka.
- Jika waktu siang sudah makan banyak di rumah terbuka, waktu malam kita makan lah buah untuk mengisi perut atau jadikan snek sebelum tidur.
Jangan jadikan hari raya sebagai tiket untuk makan sesuka hati. Semoga panduan ini dapat membantu kita mengekalkan kesihatan ketika menikmati juadah pada hari raya. Selamat Hari Raya Aidilfitri! - CARI |