Serangan ganas yang dilancarkan oleh tentera rejim Zionis Israel menyasarkan kawasan kediaman di Gaza. Kredit foto: Al Jazeera
Masyarakat antarabangsa perlu segera mengambil tindakan tegas terhadap rejim Zionis Israel berikutan serangan ganas yang dilancarkannya ke atas Gaza baru-baru ini.
Seruan itu dilontarkan oleh Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) dalam kenyataan yang diedarkan pada 7 Mei.
Pertubuhan tersebut berpandangan, tekanan besar-besaran di peringkat antarabangsa adalah diperlukan untuk menghentikan keganasan yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.
"Ia juga bertujuan memastikan rejim Zionis Israel mematuhi perjanjian gencatan senjata yang dimeterai baru-baru ini dan menghormati kehendak rakyat Palestin agar gencatan senjata itu berkekalan.
"Jenayah perang yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel mesti dihentikan," kata PCOM.
Rumah yang didiami penduduk Gaza musnah akibat serangan tidak berperikemanusiaan tentera rejim Zionis Israel. Kredit foto: Wall Street Journal
Dalam serangan yang bermula pada 3 Mei lalu, seramai 25 orang awam dibunuh termasuk dua wanita yang sedang mengandung dan seorang bayi perempuan berusia 14 bulan manakala kira-kira 170 lagi rakyat Palestin dilaporkan cedera.
Tentera rejim Zionis Israel menyasarkan serangan ke atas 320 kawasan petempatan awam dan menyebabkan kemusnahan teruk terhadap banyak kawasan perumahan di Gaza.
Dalam perkembangan sama, PCOM turut berharap agar kerajaan Malaysia terus memperjuangkan isu Palestin di pentas dunia khususnya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan-badan gabungannya.
Usaha menamatkan konflik Palestin-Israel akan menjadi lebih mudah apabila seluruh umat Islam bersatu dan menggembleng tenaga membantu rakyat Palestin yang dizalimi. - CARI |