Dunia Internet gempar sebentar apabila secawan kopi Starbucks telah membuat cameo dalam mega siri kegilaan ramai, Game of Thrones (GOT) musim kelapan beberapa hari lalu, membuat peminat menggaru kepala.
Tidak cukup dengan kejutan luar jangka dalam episod keempat "The Last of the Starks", netizen tertanya-tanya adakah cawan Starbucks itu disengajakan sebagai satu bentuk promosi "product placement"? Atau ia sememangnya tidak disengajakan?
"Kami mohon maaf!" respons Bernie Caulfield, penerbit eksekutif program antara yang termahal di dunia itu dalam temubual bersama radio WNYC, baru-baru ini.
Beliau mengakui cawan latte itu adalah satu kesilapan kecil dan seluruh anggota kerja GOT menerimanya sebagai satu jenaka. Namun, gambar itu dipercayai telah "selamat" dipadam buat selama-lamanya oleh HBO.
Di sini, pihak Starbucks lah yang untung kerana kemunculan cawan berkenaan menjadi peluang pemasaran dengan mengicau di dalam Twitter mereka.
"Kami terkejut apabila dia (Daenerys Targaryen, Mother of Dragons) tidak memesan Dragon Drink,"tulisnya.
Twitter
Penampakan cameo pelik sedemikian bukanlah yang pertama kali berlaku. Sebagai contoh, ia pernah berlaku dalam filem sejarah Marie Antoinette pada tahun 2006, arahan Sofia Coppola yang menampilkan pelakon serba boleh Kirsten Dunst.
Filem ini memaparkan kehidupan Ratu Perancis, Marie Antoinette sehingga era Revolusi Perancis.
Dalam satu adegan ketika Marie Antoinette sedang bersiap, kelihatan sepasang sepatu Converse berwarna biru dilihat di kalangan sepatu mewah berwarna pastel.
Sofia Coppola telah menyatakan dalam wawancara bahawa kasut itu sengaja dimasukkan ke dalam adegan untuk menggambarkan Marie-Antoinette sebagai seorang gadis remaja tipikal pada zamannya. Menurutnya, sepasang Converse merupakan simbol kepada keremajaan Marie yang tiada beza dengan anak-anak gadis zaman ini.
Ada yang lagi pelik dari insiden berikut? Jom kongsikan. - CARI