Jenayah boleh berlaku di mana-mana. Kadang-kadang, walaupun sudah sehabis baik kita menjaga harta benda dan sebagainya, perkara tidak diingini masih boleh berlaku, semuanya dengan izin tuhan.
Harta benda, malah nyawa diperjudikan hanya kerana nafsu menguasai diri. Namun, pasti ada hikmah di sebalik kejadian seperti dikongsi oleh saudari Nazia Suhaimi ini apabila rumahnya dipecah masuk ketika beliau tiada di rumah.
Perkongsian menginsafkan ini telah dikongsi beliau di laman Facebook dan telah dikongsi 2.9 ribu kali. Kejadian itu bermula apabila Nazia dan keluarga sedang berada di kampung dan menerima panggilan daripada pos laju yang sedang membuat percubaan menghantar barang ke rumah beliau.
Namun, lain pula yang berlaku apabila posmen bertugas memaklumkan bahawa rumahnya telah dipecah masuk berdasarkan kesan dikopak pada pintu rumah.
Menurutnya lagi, sebelum kejadian yang menimpa dirinya, telah berlaku satu insiden pecah rumah di kawasan perumahan yang diduduki dan hasil rompakan hampir mencecah RM2,000.
Nazia yang terkejut mendengar berita itu terus menghantar pesanan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp kepada group komuniti perumahan untuk melihat keadaan rumahnya.
Sudah jatuh lagi terduduk, sudah sah rumahnya telah berjaya dipecah masuk oleh perompak. Beliau kemudian terus laporkan kejadian tersebut kepada polis dan bergegas pulang ke Putrajaya.
Duit RM 500 persediaan untuk Ramadhan lesap,
bilik dah macam tongkang pecah!
Setelah membuat laporan polis dan mengisytiharkan nilai barang yang hilang, Nazlia dan suami diberitahu polis bahawa kawasan Putrajaya ketika ini memang sangat banyak kes pecah rumah.
Menurut polis lagi, jika ingin meninggalkan rumah, sila bawa barang berharga bersama-sama. Modus operandi si pemecah rumah ini adalah sama, hanya mencuri emas dan wang, dan tidak meninggalkan mangga. Polis juga mengesyaki bahawa suspek mempunyai pelbagai jenis alat untuk membuka mangga dan kerja yang dilakukan lebih daripada seorang.
Setelah siap semua aktiviti mengemas rumah yang terkesan akibat peristiwa itu, Nazia mengakui hatinya berasa sangat sedih dan kecewa dengan kejadian.
Kejadian pecah rumah di Putrajaya dan kawasan sekitar telah disahkan oleh polis dan pihak berkuasa menggesa penduduk supaya lebih-lebih berhati dan sentiasa membawa barang berharga jika ingin meninggalkan rumah dalam tempoh masa yang lama. - CARI |