Kulit buku kontroversi tulisan Mustafa Akyol yang turut menampilkan ulasan Maszlee Malik. Kredit foto: Cato Institute
Penulis berfahaman liberal dari Turki, Mustafa Akyol membenarkan bukunya yang berjudul Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan yang diharamkan di Malaysia untuk dimuat turun secara percuma dalam bentuk e-buku melalui laman sesawang Cato Institute.
Memetik kenyataan Mustafa dalam laman sesawang tersebut, orang Melayu yang beragama Islam seharusnya diberi peluang untuk menilai buku terjemahan bahasa Melayu daripada teks asal dalam bahasa Inggeris yang bertajuk Islam Without Extremes: A Muslim Case for Liberty.
Dia turut meluahkan perasaan tidak puas hati dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan bukunya itu pada 2017.
"Dalam saya menghormati pihak berkuasa Malaysia, saya mendapati autoritarianisme ini mengarut," katanya.
KDN menyatakan buku tulisan Mustafa terbitan Islamic Renaissance Front itu mempromosikan idea liberalisme, mengandungi unsur menghina Islam, menyeleweng dan dikupas menggunakan logik akal.
Maszlee Malik. Kredit foto: Carian Google
Kulit buku tersebut turut memaparkan ulasan ringkas oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang ketika ia dicetak masih bertugas sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Dia menulis, kehidupan manusia yang serba kompleks di dalam dunia pasca unipolar tamadun Barat memerlukan sikap kritis dan kewarasan intelektual dalam kalangan umat Islam untuk menjadikan agama berkenaan serta ummah terus relevan.
"Karya Akyol walaupun tidak sunyi dari kritikan ini merupakan salah satu daripada usaha tersebut.
"Kedegilan untuk terus jumud dengan kerangka legalistik-positivisme di dalam beragama kerana politik identiti (identity politics) tidak akan membawa umat Islam ke mana-mana, malah lebih menakutkan, ia hanya bakal menjadikan Islam terpinggir dari arus pertandingan ide di peringkat global yang serba rencam...," katanya.
Kalau buku cetakan fizikal telah diharamkan, tidak pasti pula sama ada ia boleh disebarkan di Malaysia melalui medium elektronik. -CARI