Sumber foto : BH online
"Saya sedih dan betul-betul insaf.." begitulah pengakuan Mazlan Pet - Pet ataupun lebih dikenali sebagai Lan Pet - Pet akibat perbuatan beliau menyakiti seorang pengawal keselamatan warga emas di pondok keselamatan sebuah bangunan premis kediaman baru-baru ini. Mereka berdua akhirnya mengambil keputusan untuk berdamai dan mengambil sikap 'buang yang keruh ambil yang jernih' terhadap insiden tersebut.
Perbalahan sehingga membawa kepada kes polis dan mahkamah itu dikatakan berakhir apabila kedua-dua pihak mengambil keputusan untuk bertemu di sebuah premis, malam tadi. Pertemuan yang mengambil masa dua jam itu dihadiri rakan dan ahli keluarga kedua-dua pihak itu menyaksikan permohonan maaf dari Mazlan, 50, diterima dengan hati terbuka oleh Pakya, 68.
"Saya maafkan Lan, buang yang keruh, ambil yang jernih."
Menurut Pak Ya ataupun nama sebenar beliau Yahya kepada BH Online, dia memaafkan Mazlan bukan kerana wang dan populariti, tetapi melihatkan keinsafan Mazlan membuatkan hatinya terbuka untuk memaafkan. Katanya lagi, tambahan dengan bulan Ramadhan yang mulia bakal menjelang tiba ini, lebih baiklah memaafkan dari memanjangkan sengketa antara mereka. Yahya mengatakan dirinya bukanlah seorang yang pendendam, kerana segala kekhilafan yang berlaku dilupakan setelah pertemuan dua muka itu.
Reputasi dan Kerjaya Lan Pet - Pet terjejas gara-gara insiden itu
Menurut Pak Ya lagi, dia sebenarnya simpati dengan Lan apabila melihatkan kerjaya dan reputasi beliau yang terjejas teruk akibat insiden itu. Asalkan beliau insaf, itu sudah memadai dan langkah seterusnya akan dilakukan adalah untuk menarik balik permohonan rayuan semakan semula atas hukuman yang dikenakan terhadap Mazlan.
Rancang bawa Pak Ya dan isteri menunaikan Umrah
Untuk pihak Mazlan pula, beliau mengakui berasa runsing dan tidak senang duduk selagi tidak berjumpa dengan Pak Ya untuk memohon maaf. Sebelum pertemuan itu dijalankan, Mazlan mengambil masa untuk mengatur acara dalam mencari Pak Ya dan memintanya untuk bersetuju menghadiri pertemuan tersebut.
"Saya tahu Pak Ya marah pada awalnya ketika pertemuan itu, namun melihat kepada keikhlasan saya memohon maaf, Pak Ya akhirnya tersenyum. Mazlan juga merancang untuk membawa Pak Ya dan isteri menunaikan umrah atas tanda memohon kemaafan dan juga berjanji untuk menjaga Pak Ya seperti keluarga sendiri.
Untuk netizen di luar sana, sudah-sudahla mengecam ya. Artis juga manusia biasa akan terus melakukan kesilapan. Asalkan ikhlas dalam memohon kemaafan dan tidak buat lagi sudah lah. Bak kata pepatah, buang yang keruh ambil yang jernih! - CARI
|