Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah berkenan menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadap baginda di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, Brunei baru-baru ini. Kredit foto: Twitter
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim disindir oleh anak buahnya sendiri berikutan tindakan beliau mengadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Bandar Seri Begawan pada 16 April lalu.
Bekas Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che'gu Bard secara sinis bertanya adakah Anwar berbuat demikian atas kapasitinya sebagai 'Perdana Menteri Port Dickson'.
"Selain Sabah dan Sarawak seharusnya bertaraf negara berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 nampaknya Port Dickson juga perlu bertaraf negara gamaknya...," katanya seperti dipetik daripada status dalam laman Facebook beliau.
Kredit foto: Facebook
Sementara itu, Anwar melalui status Twitter pada 16 April menjelaskan, dalam pertemuan selama sejam itu, Sultan Hassanal Bolkiah membincangkan bersama beliau tentang kerjasama dua hala serta serta keperluan memahami perkembangan terkini di kedua-dua negara.
Hari ini mengadap Sultan Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah selama satu jam di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan. Baginda dan saya menyentuh usaha meningkatkan kerjasama dua negara sahabat, dan menyatakan keperluan memahami perkembangan terkini kedua-dua negara. pic.twitter.com/1CjZHgLZII
— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) April 16, 2019
Para netizen turut mempersoalkan sama ada Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mempunyai lokus standi untuk membincangkan tentang hubungan dua hala bersama ketua negara asing.
Mereka bertanya soalan itu memandangkan Anwar tidak mempunyai jawatan dalam Kabinet dan setakat ini, hanya disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri bagi menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Ada netizen yang bimbang tindakan Anwar itu akan disalah tafsir oleh pihak tertentu sebagai 'menggelabah' untuk menjadi Perdana Menteri.
Kredit foto: Facebook
Mungkin Anwar ada sebab tersendiri untuk mengadap Sultan Brunei namun pada masa sama, tindakannya menguar-uarkan tentang pertemuan itu kepada umum boleh mengundang kepada pelbagai tafsiran dan salah faham. - CARI
|