Gambar hiasan. Kredit foto: Carian Google
Seorang pakar penerbangan mendakwa, pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing lima tahun lalu mungkin mendarat sebentar sebelum lenyap tanpa dapat dikesan.
Memetik laporan Mirror pada 7 April, penulis buku The Plane That Wasn't There, Jeff Wise percaya pesawat itu mungkin mendarat, membuat satu pusingan atau berpusing beberapa kali di udara.
Wise mendakwa, jarak masa sejam 13 minit dalam rekod pesawat mungkin membayangkan pesawat MH370 mendarat.
"Tidak diketahui apa yang sebenarnya berlaku mulai pukul 6.28 petang iaitu ketika telekomunikasi satelit dipasang sehingga pukul 7.41 malam.
"Melihat kepada butiran terperinci dalam log data Inmarsat, kami mendapati bahawa sistem itu ditutup dan kemudian dipasang semula," katanya.
Jeff Wise. Kredit foto: Wikipedia
Beliau memberitahu, pada pukul 6.03 petang iaitu 42 minit selepas pesawat itu hilang daripada radar kawalan trafik udara, satelit cuba menghantar pesanan teks namun telekomunikasi satelit MH370 tidak membalasnya.
"22 minit kemudian, iaitu pada pukul 6.25 petang pesawat MH370 memulakan log masuk dengan Inmarsat. Ia kembali dalam talian," jelasnya.
Justeru, Wise yang berasal dari New York, Amerika Syarikat berpandangan, kehilangan pesawat itu tiada kaitan dengan masalah elektrik.
Laluan penerbangan pesawat MH370. Kredit foto: Wikipedia
Pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 membawa sebanyak 227 penumpang yang sebahagian besarnya warga China dan 12 anak kapal.
Sehingga kini, pesawat itu masih belum ditemukan dan tiada siapa pun dapat memberikan penjelasan yang meyakinkan tentang apa yang berlaku terhadapnya. - CARI
|