Seorang remaja berusia 16 tahun dibelasah dan ditinggalkan di ladang sawit selepas enggan menyertai kongsi gelap Geng 265 dan 21, Jumaat lalu.
Susulan itu, tiga remaja lelaki ditahan bagi membantu siasatan, lapor Sinar Harian.
Kredit foto: Sinar Harian
Menurut laporan, ketika kejadian jam 3.50 petang itu, mangsa sedang menunggu rakannya di Jalan Sutera Tanjung 8/3, Taman Ungku Tun Aminah (Tuta), Johor Bahru, sebelum didatangi sekumpulan lelaki.
"Siasatan awal mendapati, tujuh suspek terbabit merupakan kenalan sekolahnya.
"Mangsa dibawa menaiki kereta bersama mereka sebelum diugut dengan pisau.
"Setibanya di satu lokasi, mangsa dipukul kerana menolak tawaran untuk menyertai kumpulan terbabit dan ditinggalkan di ladang sawit di Senai," kata Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow.
Kejadian itu menyebabkan mangsa parah di kepala dan patah jari di kedua-dua tangannya.
Tambah Tok Beng Yeow, sepasukan anggota dikerahkan untuk mengesan suspek yang disyaki terbabit dengan kejadian itu sebelum menahan tiga lelaki dalam lingkungan usia 16 hingga 18 tahun di tiga lokasi berasingan sekitar Skudai dan Kulai.
Polis masih berusaha mengesan saki baki suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan mendatangkan kecederaan. - CARI |