Budaya tolak menolak lagu di kalangan penggiat seni tanah air bukanlah asing di kalangan mereka. Baik komposer mahupun penyanyi, pasti ada sebab tersendiri mengapa mereka menolak untuk memberi atau menyanyikan lagu dicipta untuk mereka.
Jom teruskan membaca, lagu manakah yang pernah ditolak penyanyi tempatan popular.
Hi Hi Bye Bye
Ezzlyn / Rabbani
Siapa sangka lagu popular dendangan Ezzlyn ini pernah diberikan untuk kumpulan nasyid popular Rabbani suatu ketika dahulu? Tidak pasti mengapa lagu ini akhirnya menjadi milik Ezzlyn, tapi ternyata Ezzlyn berjaya membawakan lagu ini dengan cemerlang!
Bagaimana agaknya sekiranya lagu ini dinyanyikan oleh Rabbani, ya?
Lagu Rindu
Datuk Seri Siti Nurhaliza / Waheeda
Lagu Rindu ciptaan Yassin ini sebenarnya merupakan projek lagu duet di antara Siti dan penyanyi Wassini yang pernah popular suatu ketika dahulu, Waheeda. Entah bagaimana, akhirnya ia menjadi lagu solo Dato Siti Nurhaliza dan turut menjadi single terakhir bagi album Prasasti Seni yang dikeluarkan pada 2004.
Untuk Terakhir Kali
Marsha Milan / Datuk Seri Siti Nurhaliza
Disampaikan pertama kali oleh Marsha di pentas akhir Akademi Fantasia, lagu ini merupakan lagu yang pernah diberikan kepada Siti sebelum beliau membuat keputusan tidak menggunakan lagu ini dalam album terbarunya ketika itu.
Komposernya, Sharon Paul kemudian membuat keputusan untuk memberikan lagu ini kepada Marsha untuk dinyanyikan di pentas akhir berkenaan.
Mahligai Gading
Datuk Seri Siti Nurhaliza / Misha Omar
Sebelum lagu ini dipopularkan Siti, Misha Omar terlebih dahulu ditawarkan lagu ini dan juga sudah siap merakamkan suaranya. Misha juga sempat membuat persembahan live mempromosikan lagu ini ketika majlis pelancaran drama tayangan TV2 menggunakan judul sama.
Entah bagaimana, sebaik sahaja drama itu ditayangkan di kaca TV, suara Siti pula yang bergema mendendangkan lagu sama.
Sedikit Waktu
Alyah / Alfie Alwi
Komposer yang turut mencipta lagu dendangan Alyah, Sesal Separuh Nyawa mengambil keputusan untuk menyanyikan lagu ini setelah Alyah menolak untuk merakamkannya. Sedikit Waktu merupakan lagu tema untuk drama Tiada Arah Jodoh Kita yang pernah ditayangkan di TV3.
Hilang
Dayang Nurfaizah / Misha Omar
Sebelum lagu ini sampai ke tangan Dayang, komposernya pernah menawarkan lagu tersebut kepada Liza Hanim dan Misha Omar. Kedua-dua mereka telah menolak lagu ini, seterusnya memberikan rezeki untuk ratu r'n'b itu.
Di Bawah Pohon Asmara
Jaclyn Victor / Datuk Seri Siti Nurhaliza
Mungkin ramai sedia maklum, lagu ini pernah dirakamkan Siti menggunakan judul Pohon Asmara sebelum bertukar tangan ke Jaclyn Victor. Siti tidak pernah menggunakan lagu ini dalam albumnya sehinggalah ia dipopularkan Jac dan akhirnya versi nyanyian Siti dikeluarkan syarikat rakamannya ketika itu.
Puteri
Zainal Abidin / Celine Dion
Lagu yang dicipta komposer luar negara ini khabarnya pernah mendapat perhatian penyanyi popular antarabangsa Celine Dion sebelum menjadi hak milik Zainal. Dikhabarkan, Zainal begitu berminat merakamkan lagu ini sehingga beliau bermati-matian mendapatkan hak milik lagu Puteri dari penulis lagu tersebut.
Wow! Bayangkan sekiranya lagu-lagu di atas tidak dinyanyikan oleh mereka? Adakah anda masih akan meminati lagu-lagu tersebut?
Adakah anda tahu lagu lain yang pernah ditawarkan untuk penyanyi lain atau ditolak oleh seseorang penyanyi? Jom kongsi komen anda di bawah! - CARI
Nota: Maklumat-maklumat di atas berdasarkan rujukan penulis sama ada melalui Internet mahupun majalah lama yang pernah diterbitkan sebelum ini. Sebarang kekhilafan harap dimaafkan. |