Profesor Nathan Alexander mengendong bayi, Assata sambil memberi syarahan
Seorang profesor matematik di Amerika Syarikat (AS), Profesor Nathan Alexander menjadi perhatian selepas video dan gambarnya mengendong bayi sambil mengajar di Morehouse College, Atlanta, tular di media sosial.
Kebanyakan netizen memuji tindakan professor tersebut yang cuba membantu bapa kepada bayi berkenaan agar tidak terlepas kelas Algebra pada hari itu.
Wayne Hayer, bapa bayi berkenaan yang juga merupakan seorang pelajar dalam bidang Kinesiologi sebelum ini didapati sering meninggalkan kelas awal untuk pulang menjaga bayinya.
Kebetulan pada hari tersebut, isterinya mempunyai urusan lain, manakala Hayer akan menghadapi peperiksaan pertengahan semester tidak lama lagi dan tiada sesiapa dapat menjaga bayi berusia lima bulan itu.
Setelah berbincang, Profesor Alexander membenarkan Wayne membawa anaknya ke kelas sambil berkata, "Saya akan memegangnya agar awak boleh mengambil nota dengan baik!".
"Dia melakukan dua kerja dalam satu masa. Menjadi pelajar sepenuh masa, terbabit dalam program kepimpinan di kolej dan seorang bapa," jawab profesor itu ketika diwawancara oleh CNN.
Wayne sedang memasangkan alat penggendong bayi pada Profesor Alexander
Tambahnya, gambar itu merupakan satu peringatan tentang apa yang perlu dilakukan oleh ibu bapa dan betapa pentingnya penjagaan anak.
Berkata kepada pemberita di Buzzfeed News, Profesor Alexander memberitahu beliau mendukung bayi berkenaan sambil berseloroh akan menidurkan bayi itu dengan caranya mengajar.
"Apabila dia mula tertidur, saya berkata kepada kelas 'Saya rasa saya membosankan sekarang'," katanya lagi.
Selain mendapat sokongan dan pujian daripada netizen atas kemahiran mengajarnya, isteri Wayne, Firda Hayer tidak terkecuali menyampaikan penghargaannya kepada Profesor Alexander dan orang ramai yang memberi galakan.
Di samping Profesor Alexander, orang ramai turut memuji pelajar ini yang berusaha untuk hadir ke kelas meskipun terpaksa membawa anak kecilnya.
Apabila ditanya berkenaan insiden ini, Hayer mengaku beliau agak gementar pada mulanya untuk membawa anaknya ke kelas.
"Morehouse merupakan sebuah kolej lelaki dan dengan kehadiran bersama bayi yang dikendong pastinya semua orang akan memandang saya," katanya. - CARI |