Imbasan tomografi berkomputer menemukan gumpalan rambut yang besar dalam perut Feifei. Kredit foto: Mirror
Doktor yang merawat seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di China yang mengadu sakit perut terkejut apabila menemukan gumpalan rambut seberat 1.5 kilogram di dalam perutnya.
Memetik laporan Mirror pada 3 Mac lalu, kanak-kanak perempuan yang hanya dikenali sebagai Feifei itu dikatakan memakan rambutnya sendiri sejak berumur dua tahun.
Feifei juga memberitahu ibunya bahawa dia telah menghentikan perbuatan tidak sihat itu awal tahun ini.
Namun, pada awal bulan lalu, Feifei jatuh sakit selama seminggu serta menunjukkan simptom seperti muntah dan sakit perut yang teruk.
Perut Feifei mula membusung akibat tabiat memakan rambut sejak dia berusia dua tahun. Kredit foto: Mirror
Sebaik sahaja melihat perut Feifei membusung, ibunya membawa kanak-kanak itu ke Hospital Donghua di Guangdong untuk menerima rawatan.
Dr. Tang Shilong seterusnya melakukan prosedur lavaj gastrik untuk mengeluarkan isi perut Feifei namun tidak menemukan sebarang sisa makanan.
Beliau terkejut apabila imbasan tomografi berkomputer mendapati ada satu gumpalan besar yang bercampur dengan sisa makanan di dalam perut Feifei.
Gumpalan itu tidak dapat dikeluarkan melalui prosedur endoskopi kerana ia menunjukkan tanda-tanda pengapuran dan menyebabkan perut Feifei terpaksa dibedah.
"Gumpalan rambut itu pasti telah berada di dalam perut selama bertahun-tahun. Tabiat memakan rambut merupakan simptom pika iaitu sejenis kecelaruan pemakanan yang menyebabkan penghidapnya gemar memakan objek tidak berkhasiat," jelasnya.
Feifei kini dilaporkan beransur pulih dan mula mengambil makanan seperti biasa.
Awasi anak-anak yang masih kecil bagi memastikan mereka tidak memasukkan objek seperti rambut ke dalam mulut dan menelannya. - CARI |