Hati mana tidak membara apabila menemui longgokan surat dalam sebuah kebun sawit dan melihat banyak surat penting tidak sampai ke tangan empunya.
Adakah ini kerja posmen tidak bertanggungjawab?
Baru-baru ini, tular video memaparkan selonggok surat tidak dihantar kepada pemiliknya dipercayai berlaku di Jalan Kundang, Tanjung Sepat, Kuala Langat.
Menerusi video dikongsikan laman Facebook My Kuala Langat itu, kelihatan seorang lelaki meluahkan rasa kesalnya terhadap tindakan tidak bertanggungjawab pihak terbabit yang membuang surat berkenaan dalam kawasan kebun sawit begitu sahaja.
"Kenapa posmen macam ini diambil bekerja di tempat kita?
"Kenapa dibuang sesuka hati macam ini? Banyak surat penting ni!
"Surat saya sendiri tak sampai, siapa yang tak geram?" katanya.
Jika dilihat, surat-surat itu masih belum dibuka dan ada yang penting seperti dari Universiti Malaya dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Video itu mendapat perhatian orang ramai. Namun, ada yang mendakwa semua surat itu dibuang atas sebab tertentu seperti alamatnya tidak lengkap menyukarkan proses penghantaran surat kepada penerimanya.
Ekoran itu, pelbagai reaksi diberi netizen. Ada yang menyalahkan pihak posmen kerana tidak bertanggungjawab, malah ada juga yang mengecam pengirim yang tidak menulis alamat lengkap selain mengkritik pihak yang menularkan video berkenaan.
Namun, kejadian itu dipercayai sudah dibincangkan dan diselesaikan dengan baik oleh wakil pihak Pos Malaysia yang memohon maaf atas kejadian itu.
Kredit foto: FB My Kuala Langat
Adakah ini perbuatan khianat mana-mana pihak? Apapun, kes sudah selesai dan tidak perlu dipanjangkan lagi. Semoga tiada lagi kes sedemikian berlaku selepas ini. - CARI |