Media tempatan baru-baru ini melaporkan pengarah terkenal, Mamat Khalid telah dimasukkan ke hospital dan terpaksa diletakkan dalam keadaan koma bagi membolehkan organnya berehat. Menurut isterinya, Hasmah Hassan, selepas suaminya terpaksa ditidurkan, tindak balasnya semakin positif. Hasmah memberitahu suaminya perlu diletakkan dalam keadaan itu selama 48 jam bagi merehatkan jantung dan organ dalaman lain.
Melalui kenyataan Hasmah yang dibuat kepada wartawan BH Online, Hasmah mengucapkan syukur kerana suaminya sudah memberi tindak balas positif dan keadaan kesihatannya sedang dipantau rapi.
Pada minggu lepas, Astro Gempak mengeluarkan artikel berkenaan Mamat khalid yang dilihat berkerusi roda ketika hadir memberi sokongan kepada rakannya, Aziz M Osman ketika tayangan perdana filem XX Ray III di Mutiara Damansara. Keadaan Mamat ini telah menimbulkan tanda tanya berkenaan masalah kesihatan yang dihadapinya.
Foto: NSTP
Menurut portal Astro Gempak tersebut, Mamat Khalid menjelaskan bahawa sejak sebulan lalu dia mengalami masalah kencing tidak lawas yang menyebabkannya terpaksa berehat seketika. Ia juga melibatkan buah pinggang yang berkemungkinan berpunca dari masalah kencing.
Ini bukan kali pertama Mamat Khalid dimasukkan ke hospital, sebelum ini, dia pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada April 2017 akibat kepenatan dan sesak nafas. Mamat Khalid juga pernah menerima rawatan di hospital kerana masalah jantung tersumbat pada November 2014.
Mamat Khalid atau nama sebenarnya Mohamad Bin Mohamad Khalid (56 tahun) merupakan pengarah yang berjaya dalam industri perfilemen Malaysia. Antara filem arahannya ialah filem Lang Buana, Rock, Zombi Kampung Pisang, Kala Malam Bulan Mengambang, Apokalips X dan Estet. Filem terbarunya Hantu Kak Limah pula telah berjaya melakar sejarah sebagai antara filem Melayu paling berjaya dari segi kutipan apabila memungut RM38 juta hasil jualan tiket dalam tempoh hanya 11 minggu tayangan.
Selain mengarah Mamat Khalid juga menjalankan perniagaan sarang Art Hub di Tanjung Malim. Pada penghujung bulan lepas, Mamat Khalid telah berjaya menyelesaikan projek pementasan Teater Muzikal Hantu Kak Limah di MAPS Theatre, Movie Animation Park Studio Ipoh. Teater itu dilaporkan telah mendapat sambutan yang luar biasa.- CARI |