"Saya menyesali akan kesalahan yang tidak disengajakan itu dan ingin merafak sembah serta memohon ampun kepada Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta seluruh kerabat Diraja Pahang atas kekhilafan itu. Tidak dilupakan, rakyat jelata Pahang secara keseluruhannya."
Seorang wartawan yang membuat lintas langsung di Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi pemilihan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan timbalannya di Istana Negara pada Khamis memohon maaf selepas mendapat teguran kerana kesilapannya ketika membuat liputan.
Kredit foto: Sinar Harian
Dalam lintas langsung yang dipaparkan untuk berita tengah hari TV9, jam 1 petang itu, Ridhuan Hussain terkhilaf menyebut perkataan Almarhum ketika merujuk ayahanda Sultan Abdullah iaitu Sultan Ahmad Shah yang kini dalam keadaan gering.
Kesalahannya itu membuat beberapa pihak memberi teguran termasuk bekas penyampai berita Buletin Utama TV3, Saiful Nizam Ismail.
Almarhum merupakan ungkapan yang digunakan bagi merujuk kerabat tertinggi istana yang meninggal dunia. Susulan teguran itu, Ridhuan mengaku kesalahannya dan memohon maaf di laman Facebooknya.
Menurutnya, sebagai seorang wartawan, dia bertanggungjawab sepenuhnya di atas kesilapan itu.
Kredit foto: FB
Tegasnya, ia bukan kesalahan yang disengajakan dan pastinya tidak berpunca daripada kurang maklum atau arif akan istilah-istilah Istana. - CARI |