Kredit foto: METRO UK
Pamela Anderson menentang gerakan #MeToo, mengatakan ianya 'terlalu berlebihan' dan setiap orang harus bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan diri sendiri.
Mengaku bahawa dirinya mungkin akan dikecam kerana menyuarakan pendapatnya, bekas pelakon Baywatch itu berkata, “Saya rasa pergerakan #MeToo ini terlalu berlebihan untuk saya."
Kempen #MeToo itu bermula pada akhir tahun 2017 sebagai medium kebebasan bersuara kepada mangsa serangan salah laku seksual dari pelbagai industri, tetapi Pamela mendedahkan bahawa “Ibu mengajar saya supaya tidak pergi ke hotel dengan orang tidak dikenali.”
Kredit foto: Yahoo Entertainment
Dia juga berkata, gerakan feminisme ini boleh melumpuhkan lelaki dan menjadi satu kebosanan. Bercakap di saluran TV Australia 9 Now's 60 Minutes, bintang berusia 51 tahun itu berkata, “Saya fikir gerakan feminisme ini boleh pergi terlalu jauh. Saya seorang feminis, tetapi saya fikir gerakan feminisme ketika ini membosankan. Saya rasa ia boleh melumpuhkan lelaki.”
Di Hollywood, seorang wanita bernama Tarana Burke melancarkan gerakan #MeToo berikutan tuduhan salah laku seksual yang hebat terhadap penerbit Harvey Weinstein. Berikutan itu,ramai pelakon wanita seperti Gwyneth Paltrow, Jennifer Lawrence dan Kerry Washington menceritakan pengalaman sama dilalui mereka.
Walau bagaimanapun, aktres Melanie Sykes dan Lindsay Lohan telah mengecam pergerakan itu dan mengatakan ianya kini sebagai satu masalah.
Menurut Melanie, “Jika seorang lelaki tidak dapat mengatakan yang anda kelihatan bagus, saya fikir ia adalah mengarut kerana itu hanyalah interaksi antara manusia, dan siapalah kita jika kita tidak dapat mengagumi antara satu sama lain?”
Lindsay juga mengatakan gerakan ini menyebabkan wanita kelihatan lemah.
"Saya akan membenci diri sendiri kerana mengatakannya, tetapi saya fikir wanita yang bercakap tentang perkara itu menjadikannya kelihatan lemah walaupun sebenarnya mereka adalah wanita yang sangat kuat."
"Anda tidak tahu sama ada gadis-gadis itu bercakap benar atau tidak, mungkin mereka hanya inginkan perhatian dan bukan fakta sebenar yang berlaku," katanya. - CARI |