|
Dengan teknologi yang semakin canggih, kadang-kala agak sukar mengenal pasti rambut tulen dan rambut palsu. Kalau sekali pandang, kita sangkakan memang rambut asli tapi rupa-rupanya si polan mengenakan rambut palsu.
Sumber foto: Google
Ramai selebriti yang memilih untuk menggayakan rambut palsu kerana ia lebih mudah dan cepat.
Tahukah anda terdapat dua jenis rambut palsu yang ada di pasaran? Jenis yang pertama ialah rambut manusia asli, manakala yang kedua ialah rambut sintentik.
Rambut palsu yang diperbuat daripada rambut manusia asli kelihatan lebih semulajadi, bercahaya, lembut dan beralun. Ia boleh dipotong mengikut citarasa pemakai serta tahan lebih lama sehingga setahun!
Ada 4 jenis rambut asli yang digunakan iaitu rambut dari bangsa Cina, India, Indonesia dan Eropah/Kaukasian. Majoriti rambut palsu diperbuat daripada rambut Asia. Dua negara yang menjadi sumber utama pembuatan rambut palsu ialah China dan India.
Rambut palsu Cina lebih lurus dan tidak mudah dikerintingkan, oleh itu agak susah untuk menggayakan rambut Cina. Setiap helai rambut orang Cina lebih tebal dan lurus, berbanding rambut orang India yang halus tetapi lebat.
Rambut Indonesia pula mudah didapati dan banyak sumbernya, maka ia lebih murah. Rambut Eropah paling mahal kerana sumbernya sangat terhad di pasaran.
Sumber foto: Google
Di India misalnya, orang awam mencukur rambut mereka sehingga botak dalam proses penyucian ritual keagamaan. Helaian rambut itu kemudiannya dikutip oleh pihak kuil dan dijual semula secara lelongan. Namun begitu, helaian rambut yang dijual secara murah ini biasanya terdapat darah, peluh dan kutu yang melekat pada rambut asal pemilik. Kalau difikirkan semula, memang menggelikan!
Proses pembuatan rambut palsu menggunakan rambut manusia asli bermula dengan pengasingan helaian rambut satu demi satu. Kemudian, sekiranya ada kutu, kutu akan dicabut satu persatu. Seterusnya barulah proses membasuh, mengeringkan dan mewarnakan rambut tersebut. Disebabkan prosesnya yang rumit, harga rambut manusia asli tentunya lebih mahal di pasaran.
Berbeza dengan rambut palsu asli, rambut palsu sintetik diperbuat daripada fiber. Rambut sintetik boleh terus dipakai tanpa perlu penggayaan terlebih dahulu. Fesyen rambutnya tidak mudah terjejas atau rosak, justeru ia lebih sesuai dipakai apabila cuaca berangin.
Namun begitu, fesyen rambut sintetik terhad kepada yang sedia ada. Susah untuk mengubah fesyen rambut sintetik yang telah siap dibentuk kerana sifat asal fiber yang tidak mudah berubah bentuk. Rambut sintentik ini biasanya tahan selama 4-6 bulan sahaja.
Sumber foto: Google
Biasanya, pemakai akan mempertimbangkan harga, masa dan keperluan sebelum memilih jenis rambut palsu yang dikehendaki.
Bagaimana kalau anda harus memilih rambut palsu, yang mana satu yang anda akan pilih? -CARI |
|