Pemeriksaan pegawai kesihatan di China yang menemukan sisa makanan di dalam tempat menyimpan tuala bersih.
Foto: South China Morning Post
Para pelancong yang ingin mengunjungi Taiyuan, China perlu lebih berhati-hati apabila memilih hotel yang ingin dijadikan tempat penginapan sepanjang percutian mereka.
Langkah itu sewajarnya diambil berikutan hasil pemeriksaan Jabatan Kesihatan China pada 4 Disember lalu yang mendapati beberapa hotel di bandar itu tidak mempedulikan aspek kebersihan.
Memetik laporan portal berita South China Morning Post pada 5 Disember, tuala yang diletakkan di dalam tandas hotel turut digunakan untuk membersihkan cawan.
Selain itu, pegawai jabatan kesihatan turut menemukan tuala-tuala bersih disimpan bersama kasut dan sisa makanan.
"Benda-benda tersebut mungkin tidak bersih dan tidak sepatutnya disimpan bersama barangan yang telah dibersihkan, kalau tidak ia akan menyebarkan kuman," kata seorang pegawai.
Salah sebuah hotel yang diperiksa Jabatan Kesihatan China.
Foto: South China Morning Post
Bulan lalu, seorang selebriti media sosial di China, Huazong memuat naik rakaman video dalam Weibo untuk menunjukkan beberapa pekerja di hotel-hotel lima bintang menggunakan tuala yang sama untuk membersihkan cermin bilik mandi, sinki, tandas dan cawan.
Video itu seterusnya tular dan menimbulkan kemarahan netizen di China.
Nampaknya, pemilik-pemilik hotel di China perlu mendidik pekerja mereka tentang aspek kebersihan supaya reputasi mereka tidak dicemarkan dengan isu sebegini. - CARI |