"Kalau gimik, tak mungkin saya tolak beberapa tawaran persembahan. Sejujurnya, bersempena malam tahun baru saja, saya dapat lima tawaran."
Penyanyi rap Altimet nekad meninggalkan karier nyanyian walaupun ditawarkan persembahan dengan bayaran tinggi.
Kredit foto: Sinar Harian
"Kerana saya seorang yang 'degil' dan nak tetap dengan pendirian saya, saya tolak walaupun bayaran untuk setiap persembahan itu ada yang mencecah lima angka," katanya.
Altimet atau nama sebenarnya Ahmad Abdul Rahman, 40, bagaimanapun berkata, konsert pada Februari depan akan menjadi persembahan terakhirnya.
"Selepas ini, tidak akan ada lagi album mahu pun persembahan daripada saya melainkan di acara konsert terakhir pada Februari depan," katanya kepada Harian Metro.
Malah, lagu Bunga nyanyiannya yang layak bertanding di pentas Anugerah Juara Lagu 33 (AJL33) akan digantikan dengan penyanyi rap lain.
Namun, Altimet tidak menyebut siapa penyanyi itu, sebaliknya hanya memberi bayangan ia akan dinyanyikan artis berkumpulan dan meminta peminat bersabar menantikan iklan promosi acara muzik tahunan berprestij tempatan itu.
Bagaimanapun, Altimet akan meneruskan kerja belakang tabir seperti mencipta lagu dan menulis lirik untuk artis lain.
Kredit foto: MalaysiaKini
Sementara itu, MalaysiaKini melaporkan jika ada pihak ingin mendesak Altimet mengubah keputusannya, mereka perlu memujuk ibunya.
“Kalau ada pihak nak saya menyanyi, mereka kena pujuk ibu saya. Bukan saya kerana ibu yang menyarankan saya mengundur diri sebagai rapper," katanya.
Semalam, Altimet melancarkan album terakhirnya berjudul 'O' di mana single pertama daripada album berkenaan menampilkan kolaborasi bersama penerbit dan komposer, Cuurley.
Semoga Altimet sukses selalu dalam apa jua diusahakannya selepas ini. - CARI |