Kredit foto: Mekanika
Kualiti teks bahasa Melayu yang teruk dalam kenyataan media Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2018 menjadi sasaran kritikan netizen selepas ia tular di Facebook pada 22 November.
Isu itu menjadi panas apabila portal pemotoran, Mekanika memberi komen pedas dan memaparkan sebahagian petikan kenyataan berkenaan yang boleh dibaca di sini.
Laporan Mekanika itu kemudian dikongsikan netizen melalui Facebook.
Kredit foto: Portal Mekanika
Menurut Mekanika, tajuk kenyataan yang diedarkan dalam majlis perasmian KLIMS 2018 yang disempurnakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew itu dianggap kelakar.
"Adakah ini acara sukan kanak-kanak yang meriangkan? Atau pesta panjat batang pinang di kampung yang meriangkan? Atau perlumbaan basikal lajak yang riang gembira? Apa benda ni?," soal Mekanika.
Mekanika turut mendakwa ayat-ayat dalam petikan berikut tidak mencapai maksudnya dan boleh menyebabkan sesiapa yang membacanya menjadi tertekan.
Kredit foto: Portal Mekanika
Selain itu, Mekanika mempersoalkan mengapa kenyataan media tersebut menjelaskan bahawa pengunjung KLIMS 2018 boleh melihat 'basikal' di petak Art of Speed kerana yang dipamerkan sebenarnya adalah 'motosikal'.
Turut dikritik adalah perkataan 'Kilang Rusty' yang digunakan untuk menterjemahkan nama khas bagi 'Rusty Factory' iaitu garaj motosikal yang ditempah khas.
Kredit foto: Portal Mekanika
Mekanika menegaskan, mereka tidak boleh berdiam diri memandangkan kesalahan itu dilakukan oleh organisasi yang menganjurkan pameran automotif bertaraf antarabangsa dan terbesar di Malaysia.
"Ini sampai tahap memalukan Bahasa Melayu sendiri," kata Mekanika.
Alamak, apa ni? Adakah mereka menggunakan Google Translate bulat-bulat? - CARI |