"Bakal suami mahu mempercepatkan perkahwinan dan memilih 23 Disember depan. Kami sudah lama bersedia, usia pun bukan muda lagi, jadi untuk apa kami tunggu lama?"
Wah, cepatnya Raja Ilya mahu melangsungkan perkahwinan dengan jejaka Australia yang dikenali sebagai TWG!
Kredit foto: IG Raja Ilya
Menurut pelakon berusia 33 tahun itu, akad nikah bakal dilangsungkan di kediaman bakal mentuanya di Perth, Australia dan hanya akan dihadiri ahli keluarga terdekat.
Manakala, majlis resepsi akan diadakan di Australia dan Malaysia pada tahun depan.
Memetik BH Online, Raja Ilya atau nama sebenarnya Raja Ramilah Begum Raja Mohammad dilamar ahli perniagaan berusia 37 tahun itu selepas enam tahun menjalin hubungan cinta jarak jauh.
Difahamkan, TGW melamar Raja Ilya pada pertemuan kedua mereka sebelum mengikat tali pertunangan pada 23 Oktober lalu di Langkawi.
Mengikut perancangan awal, mereka akan disatukan dua tahun lagi, namun berubah fikiran untuk mempercepatkannya.
"Kemudian, kami berubah fikiran mahu berkahwin dalam tempoh setahun. Bagaimanapun, apabila memikirkan semula, tiada sebab untuk kami menangguhkannya.
"Bagaimanapun, keputusan berkahwin bukan dilakukan secara tergesa-gesa. Kami sudah membuat perancangan sejak beberapa bulan lalu," katanya kepada BH Online.
Menurut Raja Ilya, segala persiapan perkahwinan dilakukan sepenuhnya bakal suami dan keluarganya di Perth dan mereka hanya berbincang untuk urusan perkahwinan menerusi panggilan video.
"Saya pilih cincin perkahwinan menerusi panggilan video. Insya-Allah saya dan keluarga akan berlepas ke Perth, tiga hari sebelum majlis pernikahan," katanya.
Bagaimanapun, majlis resepsi akan diadakan di Perth sebelum di Malaysia, tahun depan pada tarikh yang belum ditentukan berikutan jadual penggambarannya yang padat.
Raja Ilya juga bakal menyambung pengajian di bawah geran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) di Perth pada pertengahan tahun depan.
"Mungkin selepas itu barulah saya sempat memikirkan majlis resepsi," jelasnya.
Wah, tahniah diucapkan kepada Raja Ilya dan bakal suami. Tak sabar menunggu majlisnya berlangsung nanti! - CARI
|