LONDON 7 Nov. – Seorang wanita yang berbelanja 16 juta pound (RM 87.66 juta) di Harrods menjadi orang pertama ditangkap dan bakal berdepan ekstradisi di bawah Perintah Kekayaan Yang Tidak DiJelaskan (UWO) di Uni­ted Kingdom.
Zamira Hajiyeva, 55, adalah isteri seorang bekas pengurus bank di Azerbaijan yang kini menjalani hukuman penjara 15 tahun kerana melakukan penyelewengan.
BBC melaporkan, Zamira yang tinggal di sebuah rumah berharga 15 juta pound (RM82.18 juta pound) berhampiran London, menjadi orang pertama didakwa bawah perintah tersebut oleh Badan Jenayah Kebangsaan bulan lalu. Peguam Zamira mengatakan, wanita itu bukan seorang penipu tetapi di bawah UWO, dia perlu menjelaskan sumber kekayaannya. Penahanan wanita itu didedahkan oleh Mahkamah Majistret Westminster di London selepas Zamira ditangkap minggu lalu oleh pegawai polis Metropolitan yang bertindak atas permintaan ekstradisi dari pihak berkuasa di Baku, ibu kota Azerbaijan. Dia berdepan tuduhan mela­kukan penyelewengan dan berada dalam tahanan sejak men­yerah secara sukarela pada Selasa lalu. Ketika sesi pendengaran, pendakwa berhujah bahawa dia tidak boleh dibebaskan kerana berisiko untuk melarikan diri ke luar Britain. Sementara itu, barisan peguam wanita itu berhujah Zamira adalah seorang yang gemar berbelanja dan bukan ‘penipu’ atau mungkin melarikan diri dari negara ini.
Hakim Daerah Kanan, Emma Arbuthnot bersetuju bahawa Zamira boleh dibebaskan sekiranya membayar jaminan 500,000 pound (RM27.3 juta), terus tinggal di rumahnya di Knightsbridge dan tidak me­lakukan perjalanan ke luar selain melaporkan diri kepada polis setiap hari.– AGENSI
|