Menyedihkan apabila generasi pelapis kita lebih mementingkan kecantikan berbanding menajamkan akal. Hanya kerana tidak mahu dilabelkan terlalu kurus, gemuk dan berkulit gelap, ramai anak muda mengambil jalan singkat bagi mengatasi 'masalah' tersebut. Akhirnya mereka merana kerana disahkan mengidap penyakit berbahaya dan memerlukan rawatan sepanjang hayat.
Itulah yang terjadi kepada remaja dari Melaka, apabila dia mengambil ubat untuk gemuk tanpa preskripsi doktor. Lebih memburukkan ialah dia mengamalkannya selama dua tahun seperti tiada apa-apa hinggalah disahkan doktor bahawa buah pinggangnya rosak.
Kredit foto: Twitter
Rintihannya dikongsi di laman media sosial bertanyakan siapa yang sudi mendermakan buah pinggang kepadanya. Ini kerana dia sudah tidak sanggup lagi menghadapi kesakitan dicucuk di seluruh tubuh. Hal ini membuatkan netizen menyuruh remaja ini meminta pertolongan daripada saudaranya, namun tiada saudara terdekat yang mahu menolongnya.
Lagi pula pendermaan hidup hanya boleh dilakukan oleh penderma terdekat sahaja. Menurut laman Facebook Derma Organ Melaka, hampir 25,000 pesakit sedang menunggu pendermaan organ.
Kredit foto:
Ramai netizen marah dengan remaja tersebut yang seolah-olah sanggup melakukan apa sahaja hanya kerana ingin mencapai impiannya. Namun bagi yang mengalami masalah itu sendiri, ia adalah tekanan yang sangat mendesak. Siapa sahaja sanggup diejek dan digelar macam-macam hanya kerana 'masalah' ciptaan orang lain?
Kredit foto: Twitter
Menurut perkongsian seorang netizen, ubat yang dikenali sebagai Harsen Yellow Tablet dan Kalbe Orange Tablet ini tiada kelulusan KKM. Malahan ia tersenarai dalam pautan KKM iaitu "Senarai 162 produk dikesan mengandungi bahan terlarang yang diterima melalui pelaporan kesan sampingan ubat'.
Biarpun begitu, masih ramai tidak peka dengan pendedahan daripada pihak berwajib, sebaliknya berangan untuk terus kurus, gemuk, atau putih hanya dengan mengamalkan 'ubat racun berjadual' ini.
Ubat terlarang ini sebenarnya mengandungi steroid berlebihan. Ubat di atas mendakwa pengguna boleh menjadi gemuk memang 'menjadi' bagi sesetengah individu tetapi gemuk yang terjadi bukanlah disebabkan isi tetapi adalah berpunca dari air berlebihan (water retention) dalam badan menyebabkan buah pinggang rosak.
2 buah pinggang yang sangat berharga pada manusia. Jangan sia-siakan dengan ubat terlarang - foto: Carian Internet
Jadi, sebagai masyarakat prihatin, adalah menjadi tanggung jawab kita untuk memastikan hal sebegini tidak berlaku lagi dari akar umbi. Jika ada rakan, saudara atau orang sekeliling kita yang mengalami masalah sebegini, usah ditambah dengan gelaran yang tidak perlu seperti kurus keding, papan dan sebagainya. Jika tidak boleh menyelesaikan masalah orang, jangan pula menjadi 'batu api'. - CARI
|