Sejak melancarkan lagunya, Syinta Gila, banyak kecaman diterima Safiey Ilias di laman sosial. Walaupun dihentam teruk pengguna media sosial, lagunya boleh dikatakan 'berhantu' dan melekat di fikiran pendengar. Malah, liriknya meniti di bibir orang ramai.
Terbaru, usahawan kosmetik itu meluahkan rasa syukurnya di Instagram dengan kejayaan 'Syinta Gila' menduduki carta teratas di beberapa platform seperti iTunes, Youtube dan Joox.
Dalam masa sama, Safiey turut meluahkan keinginannya menggunakan keuntungan yang bakal diperoleh untuk menganjurkan program keagamaan bersama pendakwah, Ustaz Ebit Lew.
"Syinta cakap dekat Ustaz Ebit Lew, nanti dah dapat royalty jom buat lagi program untuk maknyah. Ajar mereka solat," tulisnya.
Selain memuji dan mengucapkan tahniah di atas kejayaan lagu Syinta Gila, pengguna turut mengucapkan tahniah di atas usaha Safiey untuk berubah ke arah kebaikan.
Dalam kemas kini sebelum itu, Safiey ada memuat naik gambar ibu bapanya berserta entri panjang memohon ampun daripada mereka kerana tidak menjadi anak yang baik hingga dipandang hina orang ramai.
"Maafkan Apit sebab orang kampung cakap anak-anak jadi penagih dan pondan," ujarnya.
Kredit foto: IG Safiey Ilias
Semoga doa kedua-dua orang tua Safiey dikabulkan Allah. - CARI |