Sumber Foto: Portal video Vimeo
Taman Akuarium Marin Inubosuki terletak di bandar Choshi di kawasan Chiba Prefecture, Jepun. Setelah berlakunya krisis nuklear dan gempa bumi pada tahun 2011, taman ini secara rasminya ditutup disebabkan bilangan pengunjung yang semakin merosot. Sewaktu penutupannya, pengurusan taman marin ini menyimpan kisah yang kurang enak: mereka telah mengurung sekali hidupan laut yang menghuni taman marin tersebut.
Seekor ikan lumba-lumba bernama Honey, 46 ekor penguin dan beratus-ratus ikan dan haiwan reptilia telah dikurung di dalam taman marin tersebut sehingga kini. Menurut laporan Reuters, Honey telah ditangkap di Taiji, sebuah pekan pelabuhan yang terletak di sebelah barat bandar Choshi. Pekan ini terkenal dengan acara memburu ikan lumba-lumba yang dijalankan setiap tahun. Hasil tangkapan akan dibunuh untuk dimakan ataupun dijual kepada pihak ketiga seperti taman marin ini.
Apabila acara tahunan ini dipaparkan di dalam sebuah filem dokumentari yang berjudul The Cove, amalan pemburuan ini telah mendapat kritikan yang hebat. Akibatnya, Persatuan Zoo dan Akuarium Jepun bersetuju untuk menghentikan pembelian ikan lumba-lumba yang ditangkap dari acara tahunan tersebut.
Sumber Foto: IMDB
Honey tinggal keseorangan di dalam kolamnya dalam suasana yang sunyi. Namun demikian, terdapat kakitangan yang menyediakan makanan untuknya dan juga hidupan laut lain setiap hari.
Sumber Foto: Reuters
Menurut Reuters lagi, usaha-usaha untuk menghubungi pihak pengurusan taman marin Inubosuki sentiasa berakhir dengan kegagalan. Sikap berdiam diri pihak pengurusan membuatkan para aktivis haiwan berasa bimbang dan hilang kepercayaan. Aktivis-aktivis haiwan yang memantau situasi taman marin Inubosuki berasa bimbang dengan keadaan Honey yang menunjukkan tanda-tanda stres. Honey kerap kali mengeluarkan kepalanya di atas permukaan kolam.
Sebuah organisasi, The Dolphin Project mengambil inisiatif dengan memuatnaik sebuah video mengenai taman marin Inubosuki pada 31 Ogos 2018 di portal video Vimeo. Video yang dirakam menggunakan sebuah dron menunjukkan keadaan Honey yang keseorangan di dalam kolam. Suasana sunyi di taman marin Inubosuki menambahkan lagi rasa simpati mereka yang menonton video tersebut.
Kini video tersebut telah tular di beberapa laman sosial bersama-sama tanda pagar #SaveHoney. Menerusi perkongsian video yang sama di laman sesawang Reddit, seorang pengguna Reddit telah membawa khabar gembira. Dikatakan bahawa pihak berkuasa tempatan telah berjaya menghubungi pihak pengurusan taman marin ini. Usaha untuk memindahkan Honey ke lokasi yang lebih sesuai sudah bermula.
Sumber Foto: Reddit
Netizen yang prihatin dengan situasi Honey berasa lega dengan perkhabaran tersebut. Semoga Honey dan juga hidupan-hidupan lain yang menghuni taman marin ini mendapat pembelaan yang sewajarnya. - CARI |