"Saya hanya akan ganti dengan Lavida Coin... 'you take it or leave it'."
Datuk Seri Vida (DSV) memberi kata dua kepada penyanyi Aishah yang mendakwa rantai emas putih bertatah batu permata diterimanya sebagai hadiah kemenangan Gegar Vaganza 2017 adalah palsu.
mStar Online melaporkan, DSV atau nama sebenarnya Datuk Seri Dr Hasmiza Othman bertegas untuk tidak memenuhi permintaan Aishah yang mahukan wang tunai atau barang kemas sama nilai, sebaliknya menawarkan Lavida Coin sebagai pertukaran.
"Saya takkan ganti dengan wang tunai mahupun barang kemas bernilai RM80,000.
"Kenapa saya perlu bagi duit pula kat dia? Lagipun rantai itu saya bagi seikhlas hati.
"Kalau dia tak nak Lavida Coin bermakna dia orang paling rugi atas muka bumi ini," katanya kepada mStar Online.
Tambahnya lagi, rantai berkenaan sebenarnya tiada dalam senarai hadiah utama bagi juara GV4. Jadi, beliau berhak menolak permintaan Aishah.
"Saya nak pihak Astro jumpakan saya dengan Aishah sebab hadiah itu bukan ditawarkan kepada juara seperti yang diuar-uarkan.
"Saya bagi atas dasar ikhlas dan tiba-tiba dia buat begini pula. Saya mahu nama saya dibersihkan," katanya.
Terkilan diperlakukan sedemikian rupa, DSV mencadangkan gelaran juara Aishah ditarik memandangkan rantai berkenaan bukannya ganjaran utama, sebaliknya hanyalah hadiah tambahan.
Kredit foto: IG Aishah/DSV
"Saya mahu kejuaraan dia ditarik balik... dia tak layak dapat nombor satu tapi nombor 10.
"Buat apa saya nak minta maaf. Saya tak buat apa-apa salah. Lagipun rantai emas putih bertatahkan batu permata itu bukan palsu," katanya.
Bagaimanapun, ramai di kalangan netizen bersependapat dengan Aishah mengatakan barangan kemas berkenaan kelihatan palsu.
Kalau benar, malulah DSV menganiayai orang lain. Namun, jika salah orang ramai harus memohon maaf kerana telah memfitnah dan mencemar imej DSV. - CARI
|