Kesedaran rakyat Malaysia dalam menjaga kebersihan masih lagi rendah dan ramai yang tidak mengambil peduli tentang kebersihan. Kebanyakannya tidak rasa bersalah membuang sampah merata-rata dan langsung tidak memikirkan kesan buruk yang bakal menimpa. Sebelum ini sudah ramai yang menjadi mangsa akibat sikap netizen yang tiada kesedaran sivik kerana membuang sampah dari tingkat atas rumah flat yang didiami.
Apabila berada di jalanan pula, sampah sarap yang dibuang di tepi-tepi jalan turut menyakitkan mata. Bukan hanya sampah sarap yang ringan dan berterbangan, malah yang berbahaya seperti botol, tin minuman dan puntung rokok yang masih menyala turut dibuang melalui tingkap kereta.
Seorang pengguna twitter memuat naik status dan gambar tentang kejadian yang baru berlaku ke atas dirinya. Dahinya luka akibat pemandu kereta dihadapannya telah membuang botol dari tingkap kereta ketika dia sedang menunggang motorsikal di sebuah lebuh raya. Bagaimana pun dia bersyukur kerana tidak berlaku perkara yang lebih teruk kerana begitu terkejut ketika itu.
Buang sampah pun masih nak kena ajar ke?
Ramai netizen yang marah dan tidak berpuas hati dengan sikap segelintir rakyat Malaysia yang mementingkan diri ketika berada di jalan raya. Sepatutnya sampah di dalam kereta perlu dikumpul dan dibuang ke dalam tong sampah. Bukannya dibuang merata-rata sehingga boleh mencederakan pengguna jalan raya yang lain.
Tak pakai topi keledar ke?
Ada netizen yang keliru dan bertanya sama ada lelaki ini memakai topi keledar atau tidak ketika menunggang motorsikal kerana botol tersebut tepat terkena pada dahinya.
Berlubang baju kena puntung rokok
Bukan sahaja botol dan sampah sarap yang dibuang dari tingkap kereta,tetapi ramai netizen yang pernah terkena puntung rokok sehinggakan baju mereka berlubang. Malah abu rokok yang terkena mata cukup memedihkan dan mengganggu pemanduan mereka.
Semua pengguna jalan raya perlulah mempunyai sikap bertimbang rasa, tidak mementingkan diri dan menjaga keselamatan pengguna yang lain. Sampah dari dalam kereta jangan dibuang merata-rata tetapi perlu dikumpul dan dibuang ke dalam tong sampah agar tidak mencederakan orang lain. - CARI |