|
|
KUALA KETIL - Harapkan pegar, pegar makan padi, itu peribahasa tepat ditujukan kepada seorang lelaki yang selama ini dianggap sebagai jiran prihatin.
Namun tanggapan itu meleset setelah lelaki itu kantoi mengintai penuntut wanita sebuah universiti yang tinggal hanya selang sebelah rumahnya di Taman Insaniah.
Penuntut ingin dikenali, Syafiqa, 24, berkata, dalam kejadian jam 12.30 tengah malam Sabtu lalu, lelaki itu bertindak memasuki halaman belakang rumah sewanya dan mengintai melalui cermin bilik.
Menurutnya, tindakan itu bagaimanapun dilihat jiran lain sebelum mereka menyergah dan mengejarnya.
“Selama ini semua sangka dia jiran prihatin sebab selalu jalan sekitar deretan rumah di sini, sangkaan kami dia jaga keselamatan penghuni di sini, rupanya lain yang jadi,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, lelaki itu juga sempat memberi amaran kepada jiran-jiran lain dengan nada ugutan.
“Berlaku pergelutan di antara mereka. Kemudian lelaki tu kata, “jangan kacau aku, dah lama aku buat kerja ni, hampa baru duk sini.”
“Kata-kata lekaki tu memberi gambaran sudah berapa lama dia buat kerja terkutuk, kami pun dah setahun tinggal di taman ni,” katanya.
Katanya, laporan polis sudah dibuat di Balai Kuala Ketil namun tindakan terhadap lelaki itu belum ada.
“Sejak malam tu kami dibantu Majlis Perwakilan Mahasiswa untuk tidur di rumah lain. Malam semalam (kelmarin) saya dan lain-lain tumpang tidur di sebuah premis perniagaan,” katanya.
Syafiqa berkata, lelaki itu turut membina sebuah pintu di atas balkoni rumah.
“Dia seorang saja yang buat pintu di balkoni, tapi ramai jiran lain tak perasan. Cuma kami yang tahu sebab pernah nampak lelaki berkenaan hisap rokok atas tu.
“Balkoni tersebut menyambung ke balkoni rumah orang lain termasuk kawasan kami,” katanya.
Katanya, kerana bimbang akan keselamatan, mereka sepakat berpindah.
Sementara itu, penduduk, Rosmawati Zakaria, 43, berkata, perbuatan lelaki itu mengejutkan semua penduduk di situ.
Menurutnya, tanpa tindakan pihak berkuasa, lelaki itu dibimbangi mengulangi perbuatan tersebut.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati kawasan tersebut sunyi. |
|