|
Jodoh bukan semata-mata ketentuan takdir, sebaliknya seseorang itu perlu berusaha dan berikhtiar untuk mencari pasangan hidup masing-masing.
Demikian pengalaman bertemu jodoh yang manis buat sepasang warga emas yang belajar agama di Pengajian Pondok Pusat Pendidikan Al Barakah, Manjoi di pusat pendidikan milik pendakwah bebas terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias.
Foto Kredit : carian internet
Memetik laporan Mstar, Hussain Abdul Rahman dan Kamsiah Adam yang masing-masing berumur 84 serta 66 tahun melangsungkan pernikahan di surau pusat pendidikan tersebut semalam.
"Alhamdulillah, saya berterima kasih dengan cadangan Ustaz Kazim sebab dia melihat saya keseorangan sejak saya mula mengikuti kelas di sini tiga bulan lalu."
"Ini perkahwinan saya yang ketiga dan saya berharap ia akan kekal sehingga akhir hayat. Saya berkahwin kerana mahu menjalankan amal ibadat dengan lebih tenang di sini apabila ada insan yang sudi menjaga saya," kata Hussain yang merupakan bapa kepada tujuh anak serta 17 cucu itu.
Manakala, Kamsiah yang berasal dari Ampang, Kuala Lumpur berkata, dia bersetuju berkahwin kerana terpikat dengan kesolehan Hussain.
Pasangan tersebut dinikahkan oleh adik Kamsiah iaitu Hamzah Adam dengan disaksikan Timbalan Pendaftar Ipoh, Mohd. Azarudin Mohamad Saarani.
Foto Kredit : carian internet
Dalam pada itu, Ustaz Kazim memberitahu, pasangan tersebut merupakan pasangan keenam yang belajar di Pengajian Pondok berkenaan yang bertemu jodoh di pusat pendidikan tersebut dan Hussain merupakan pelajar paling senior di Pengajian Pondok berkenaan.- CARI |
|