|
Bersempena dengan Ramadhan dan Aidilfitri yang bakal menjelang, ramai artis menggunakan peluang ini untuk mempergiatkan lagi aktiviti perniagaan yang melibatkan pakaian dan tudung.
Perniagaan tudung antara perniagaan yang menjadi pilihan para artis wanita. Biarpun pasarannya agak kompetitif, namun sambutan yang diberikan tetap di luar jangkaan.
Dengan kerancakan perniagaan tudung ini jugalah telah membuahkan idea buat selebriti terkenal Nur Fazura untuk turut sama memperkembangkan lagi koleksi tudung keluarannya.
Sebelum ini dikenali sebagai House Of Doll, kini jenama Fazura diperkenalkan semula sebagai Fazbulous iaitu gabungan namanya, Fazura dan Fabulous yang sering digunakan oleh Fazura di media sosial.
Foto: IG Nur Fazura
Koleksi tudung yang diberi nama 'Tudung Fazura' itu adalah jenama eksklusif yang dilancarkan semalam di butiknya, Fazbulous di The Strand Mall, Kota Damansara.
Sebaik sahaja dilancarkan, koleksi tersebut laris bagaikan pisang goreng panas! Ramai peminat Fazura hadir memeriahkan majlis pelancaran tudung tersebut. Apa yang mengejutkan, ketiga-tiga koleksi Tudung Fazura habis dijual pada malam tersebut. Wow! Semakin murah rezeki isteri kepada Bintang Paling Popular 2017, Fattah Amin.
Jika dilihat dari segi warna ataupun cetakan pada tudung petak dan selendang itu, ia tidak terlalu kompleks. Corak juga lebih ringkas dan tidak terlalu abstrak. Menariknya, gaya pemakaian Fazura juga turut membuatkan tudung keluarannya kelihatan klasik dan unik.
Tahniah diucapkan kepada Fazura kerana sekarang sudah bertambah artis menjadi usahawan tudung mengikuti jejak langkah nama besar seperti Neelofa. - CARI
|
|