Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilitasi Cheras tengah hari tadi mendakwa Pakatan Harapan (PH) tidak akan terburu-buru melantik Ketua Umum PKR itu sebagai perdana menteri, lapor Sinar Online.
Foto: BH Online
Menurutnya, pelantikan Anwar hanya akan dibuat seawalnya selepas pertengahan penggal.
“Memang kita mahukan kerajaan di bawah pentadbiran Dr Mahathir berjalan lancar dan memberikan satu perubahan yang kita inginkan termasuk agenda reformasi.
“Setakat ini, seperti yang saya bagi tahu semalam, tidak ada perancangan untuk
melantik Anwar (sebagai perdana menteri) secara terburu-buru.
“Perkara itu memang kita dah persetujui dan ia memang satu perkara yang memang kita rancang awal," katanya kepada pemberita.
Dalam perkembangan lain, Wan Azizah berkata, tahap kesihatan Anwar semakin pulih dan bersedia bertemu penyokong sebaik dibebaskan esok.
Foto: Reuters
“Ramai kawan-kawan kita termasuk dari Jakarta yang datang untuk bertemu dengan Anwar hari ini," ujarnya.
Sementara itu, BH Online melaporkan, Anwar akan mengadakan satu ceramah ringkas bagi menghargai penyokongnya selama ini.
"Saya difahamkan penyokongnya telah mula tiba dari seluruh negara jadi saya percaya Angkatan Muda Keadilan (AMK) mungkin akan menyusun program yang sesuai untuk penyokong parti.
"Kemuncaknya selepas dibebaskan kita akan susun satu mobilisasi rakyat untuk menyambut pembebasan Anwar termasuk beliau akan memberi ucapan ringkas kepada penyokong-penyokongnya di lokasi awal dikenalpasti di Padang Timur Amcorp Mall Petaling Jaya.
"Sambutan mungkin diadakan sama ada petang atau malam Rabu itu kerana malam itu juga umat Islam sudah mula solat Tarawih kerana akan puasa keesokan harinya," kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail. - CARI |