DATUK Seri Najib Razak mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa esok (Sabtu) selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Perdana Menteri membuat pengumuman khas itu yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara mulai jam 12.02 tengah hari ini, selepas mengadap Sultan Muhammad ke-V di Istana Negara pada pagi tadi. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan barisan anggota Kabinet.
Susulan pembubaran Parlimen itu, Perdana Menteri menasihati semua Ketua Menteri dan Menteri Besar kecuali Sarawak, menghadap Sultan, Raja atau Yang di-Pertuan negeri masing-masing bagi mendapat perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN). Langkah itu bagi memberi laluan supaya pilihan raya negeri (PRN) dan PRU dapat diadakan serentak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Sarawak terkecuali daripada mengadakan PRN kerana baru sahaja diadakan pada 7 Mei pada 2017. PRU-14 adalah yang kedua di bawah kepimpinan Najib, yang akan memimpin jentera Barisan Nasional (BN) selepas mengambilalih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 April 2009. Susulan pembubaran Parlimen hari ini, SPR perlu menetapkan tarikh pilihan raya diadakan. Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan menetapkan PRU mesti diadakan dalam tempoh 60 hari, daripada tarikh pembubaran Parlimen. Ketika pembubaran Parlimen hari ini, Dewan Rakyat mempunyai 222 kerusi.
|