|
Bagi penggemar makanan barat Fish-n-Chips, rahsianya terletak pada kulit salutan luar ikan. Ia harus rangup dan keemasan dengan isi ikannya yang gebu, lemak dan seakan-akan mencair di dalam mulut kerana digoreng tidak terlalu lama. Jika ikan digoreng lama, isinya akan kering. Jadi, apakah rahsia untuk menghasilkan yang terbaik? Jom tengok.
Secara tradisinya di United Kingdom (UK), Fish-n-Chips dihidangkan dengan cuka malt. Manakala, bahan sampingan lain adalah kacang pea yang kadang kala dikisar halus. Selain mayonis dengan taburan parsli cincang, tidak lengkap jika tiada hirisan lemon. Berbeza dengan kita yang lebih suka makan dengan sos cili atau tomato.
Ikan segar menjamin kesedapan masakan
Foto: meatandpotatoes
1. Memilih ikan
Ikan tilapia, pollock (ikan Laut Atlantik Utara) dan kod merupakan pilihan terbaik. Namun, ikan berisi putih dan pejal yang lain juga boleh digunakan, seperti siakap, ikan merah atau dory (perlu dilap sehingga betul-betul kering). Potonglah ikut saiz yang dikehendaki - atau saiz kuali leper yang anda ada supaya ikan tenggelam sepenuhnya apabila digoreng.
Hirisan lemon membuat rasa ikan lebih segar
Foto: D'Longhi
2. Minyak gorengan
Untuk menggoreng, anda memerlukan minyak yang banyak. Adalah lebih mudah sekiranya ada 'deep-fryer' dengan pengangkat berjaring. Hendaklah meletakkan kepingan ikan berhati-hati kerana salutannya mudah tertanggal jika ikan 'dicampak' saja ke dalam minyak. Elakkan menggunakan minyak zaitun kerana ia tidak sesuai untuk menggoreng terendam (deep-fry).
Enak dan mengenyangkan. Sesuai makan tengah hari dan malam
Foto: goodtoknow
3. Bekas menggoreng
Jika tiada kuali leper, gunakan periuk besar untuk menggoreng. Kepingan ikan mesti tenggelam sepenuhnya bagi memastikan ia masak sekata. Sebaiknya, ia tidak diterbalikkan kerana bimbang ada salutan yang mungkin tertanggal atau melekat di dasar kuali atau periuk.
Resipi asal Alton Brown menggunakan bir tetapi penulis gantikan dengan air rebusan/stok ayam, air halia, jus kranberi, jus anggur putih atau wain putih tanpa alkohol. Pilih jus yang tiada gula. Jika ada, tambah sedikit cuka atau jus lemon/limau nipis. Jika masakan menggunakan bir gelap, gantikan dengan air rebusan daging, stok cendawan, jus epal (tidak manis), cider epal, root beer (pastikan Halal) atau coke.
Antara sajian sampingan yang boleh digandingkan dengan Fish-n-Chips
Fish-n-Chips (Ikan sahaja)
2 cawan tepung gandum
1 sudu besar serbuk penaik
1 sudu teh garam
1/4 sudu teh serbuk lada hitam / cayenne
200ml air rebusan
100ml jus epal / kranberi / anggur
600g ikan berisi pejal
Tepung jagung, untuk salut
Cara membuatnya:
1. Dalam mangkuk, campurkan tepung, serbuk penaik, garam, cayenne.
2. Masukkan air rebusan dan jus epal, kacau sehingga adunan sebati. Letak di dalam peti sejuk selama 15 minit sehingga 1 jam.
3. Panaskan minyak di atas api sederhana sehingga mencapai suhu 350 darjah.
4. Salut kepingan ikan dengan tepung jagung. Celup di dalam adunan dan masukkan ke dalam minyak panas.
5. Apabila keperangan, terbalikkan atau angkat dan letak di atas redai agar minyaknya menitis.
Sekarang dah tahu macam mana nak buat tepung salutan yang sedap, jom buat sendiri! Puas makan dan jimat belanja berbanding makan di restoran. - CARI
|
|