Saya suka ikan kembung. Ada orang panggil ikan temenung. Tak tau kenapa. Tapi bunyi sebutan “temenung “ sama dengan “termenung”.
Dulu ikan kembung dianggap “poor man’s fish" sebab harganya yang murah yang kononnya hanya dibeli oleh golongan miskin. Itu dulu. Kini lain ceritanya.
Sehari dua lalu, seorang kawan lama saya buat satu posting di laman Facebooknya.Saya rasa posting tu kawan saya repost .Maknanya posting itu bukan ciptaannya. Mungkin juga anda pun ada menerima atau baca menerusi platform media sosial.
Foto hiasan. Sumber: Blog bukanchef
Begini bunyinya: “Dulu takde duit mampu beli ikan temunung je" (dimuatkan gambar ikan temenung ) lalu disambung: “Sekarang nak beli ikan temenung pun termenung 2 – 3 jam tengok beg duit".
Sinis mesej tu. Rasanya kita semua faham. Tak perlu hurai lanjut. Bulan lalu ,pada malam sebelum Tahun Baru Cina, jiran-jiran saya daripada masyarakat Cina agak sepi menyambut tahun baru. Mereka bakar mercun dan main bunga api ala kadar saja. Setengah jam lepas midnight senyap. Tidak seperti tahun tahun lampau. Taman perumahan kami bagai medan perang. Bingit dengan bunyi mercun dan langit diterangi pecikan bunga api.
Dan majlis makan malam bersama keluarga juga kali ini kata mereka simple dan ringkas. Dulu majlis demikian adalah 10 atau 12 course dinner. Meja makan penuh dengan pelbagai hidangan. Kali ini kata kawan kawan saya, sekadar hidangan steam boat simple dengan bebola ikan dan crabstick serta sayuran.
Kata mereka ekonomi sekarang lembab dan nilai ringgit masih mengecil. Lantas mereka terpaksa berjimat dan ikat perut walaupun mereka daripada golongan kelas pertengahan. Pun begitu saya baca laporan di mana perdana menteri menyifatkan sambutan tahun baru Cina kaili ini amat meriah kerana keadaan ekonomi negara yang bertambah baik.
Foto hiasan. Sumber: Blog Ferozee
Beralih pula kepada sembang sembang di majlis kahwin, kenduri atau pun lepak lepak sambil mengeteh atau mengopi. Apa yang sering kita cakapkan dan yang selalu kita dengar “Kita merungut dan mendengar rungutan".
Rungutan sama ada orang muda atau orang tua. Termasuk saya. Rungut pasal harga barang naik, semua dah mahal, kos sara hidup tinggi, gaji tak naik, bonus tak de. Dan macam macam lagi yang menyayat hati dan merobek poket. Rungutan itu terbit daripada apa yang kita lalui. Berdasarkan pengalaman bukan fake news. Rata rata ramai kata keadaan ekonomi tidak rancak.
Tapi seorang wakil rakyat berasal dari Sabah yang isteri mudanya seorang artis jelita berkata ekonomi tidak teruk - tidak ada siapa yang mati tak makan di Malaysia. Malah katanya di negara ini orang sakit kerana terlalu banyak makan. Pak pak menteri turut bertanya jika ekonomi negara tidak bagus bagaimana rakyat Malaysia boleh pergi melancong?
Foto hiasan. Sumber: ppim
Tidak bercadang saya menjawab kenyataan seperti itu. Sekadar mengutara kesimpulan: memang ada golongan berada di negara ini dan perlu ingat ada juga golongan tidak berada . Persoalannya golongan mana yang lebih ramai? Dan persoalan lebih penting adakah orang atasan tidak dengar suara orang bawahan? Waullahualam. |