Baru-baru ini, orang ramai kecoh membincangkan hal suami kepada pelakon Izreen Azminda yang menceraikan isteri pertamanya dan rata-rata tidak bersetuju dengan tindakan lelaki itu yang hanya memberikan alasan remeh.
Kes perceraian tersebut meraih perhatian seorang wanita yang telah bergelar seorang janda selama tujuh tahun, Sazwani (@ImanQurrotuaini) telah berkongsi pendapatnya mengenai isu ini di akaun Twitter miliknya.
Menurut Sazwani, sepanjang bergelar janda, acap kali lelaki bergelar suami orang mencuba 'test market' untuk menjadikannya isteri kedua berbanding golongan lelaki bujang.
Tambahnya, antara faktor utama suami orang kerap mencari janda sebagai sasaran adalah kerana dia tidak akan kecewa sekiranya ditolak kerana masih mempunyai isteri di rumah.
Dalam masa sama Sazwani turut tidak bersetuju dengan stigma masyarakat yang menyifatkan wanita bergelar janda ini adalah seorang penggoda dan perampas suami orang. Ini kerana tidak semua janda bersifat sedemikian, bahkan ramai lagi janda yang lebih mementingkan maruah diri sebagai seorang wanita.
Baginya, sama ada lelaki atau wanita tidak perlu mengambil kesempatan atas nasib menimpa seorang janda dan membina kebahagian di atas tangisan wanita lain yang diceraikan kerana poligami.
Di penghujung threadnya, Sazwani mencadangkan jika mana-mana suami orang dan janda masih lagi hendak berkahwin mestilah memaklumkan terlebih dahulu kepada isteri pertama kerana sekiranya perkahwinan itu dilakukan secara sorok-sorok, ia pasti akan melukakan hati isteri pertama selain memburukkan keadaan.
Threadnya itu meraih pelbagai respon daripada netizen dan rata-rata bersetuju dengan pendapat Sazwani itu iaitu tidak perlu membina masjid dengan meruntuhkan masjid orang lain.
Foto: Twitter
Apa-apa pun, perkara ini sebenarnya terletak pada diri lelaki itu sendiri. Seharusnya sebagai lelaki, mereka perlu menjadi orang yang lebih bertanggungjawab dan meletakkan prioriti kepada keluarga berbanding diri sendiri. - CARI |