|
Setiap ibu bapa pasti mahukan nama dengan maksud yang baik untuk anak mereka hingga kadang-kadang nama diberi terlalu panjang dan sukar disebut.
Berbeza dengan orang dulu-dulu memberikan nama yang ringkas dan mudah disebut. Ketika itu, maksud tidak menjadi keutamaan, sebaliknya nama dipilih sempena sesuatu kejadian.
Begitu juga dengan pemilik nama Tingga Abas, 61, lapor Sinar Online.
“Saya sebenarnya tak tahu sangat, tapi mak saudaralah yang cerita macam mana boleh dapat nama Tingga. Dia kata, nama Tingga tu asal daripada perkataan tinggal.
“Sewaktu arwah emak melahirkan saya, arwah emak meninggal dunia, lalu saya dinamakan sebagai Tingga,” katanya.
Wanita berasal dari Kuala Pahang, Pekan dan kini menetap di Kampung Jerantut Feri itu bagaimanapun tidak tahu mengapa namanya dieja tanpa huruf 'L' di belakang namanya.
“Mungkin juga kerana ejaan orang dahulu, saya juga tak tahu. Saya juga tak pasti siapa yang menamakan saya, sama ada mak saudara atau arwah ayah. Kemungkinan arwah ayah," katanya.
Walaupun unik, kerana nama itulah dia pernah dianggap sebagai warga Indonesia. Bagaimanapun, Tingga tidak pernah diejek kerana nama uniknya itu.
Foto: Sinar Online
“Sewaktu di sekolah sampailah saya bekerja, tidak ada yang ejek nama saya sebab ada juga rakan yang mempunyai nama yang pelik seperti saya.
“Saya rasa biasa sahaja, tidak ada apa yang istimewa atau pelik sebab kawan juga ada nama pelik,” katanya. - CARI |
|