|
Ada orang seronok melancong untuk mencari pengalaman yang tak dapat dilupakan. Dalam pada itu, ramai juga gemar memilih gaya pelancongan yang dapat memberi perasaan teruja (thrill) di mana ia akan membuat mereka panik kesukaan dan boleh mendabik dada apabila bercerita kepada orang lain.
Iyalah, bukan senang nak dapat pengalaman unik lain daripada lain. Jom tengok enam destinasi dipetik dari BrightSide berikut yang bukan saja menarik, tapi mendebarkan. Terasa bagai nak meletup dada ini!
1. The Death Railway
Death Railway (Landasan Kematian) atau Burma Railway ini terletak di daerah Kanchanaburi, sempadan Thailand-Myanmar. Landasan ini dibina ketika pemerintahan Jepun pada Perang Dunia II merentasi hutan tebal dan gunung curam.
Landasan ini diberi nama Death Railway kerana sebanyak 90,000 buruh am dan lebih 12,000 tawanan perang terkorban ketika pembinaannya.
Landasan kereta api penuh bersejarah dan penyebab kematian
2. Lapangan Terbang Gisborne, New Zealand
Hm, rasanya susah nak jumpa lapangan terbang sebegini. Rasa nak luruh jantung ini melihat gambar kapal terbang yang nyaris melanggar kereta api sedang melintas.
Bagaimanapun, pihak berkuasa lapangan terbang dan kereta api sentiasa memantau segala pergerakan supaya kemalangan tidak berlaku. Pun begitu, tetap kecut perut juga melihat 'pertembungan' antara kereta api dan kapal terbang. Difahamkan, kereta api tidak putus bergerak di atas landasan ini sepanjang hari.
Silap perhitungan, buruk padahnya
3. Lapangan Terbang Saba
Ia adalah landasan lapangan terbang komersial terpendek di dunia dan dianggap lapangan terbang paling berbahaya untuk pendaratan. Lapangan Terbang Saba terletak 45 kilometer (km) ke selatan Pulau Saint Maarten, jajahan Belanda.
Dengan landasan sepanjang 400 meter, juruterbang sudah pasti menghadapi dugaan besar. Satu kesilapan kecil boleh menyebabkan kematian!
Dugaan hebat untuk abang pilot
4. Tren a las Nubes, Argentina
Laluan rel menghubungkan barat laut Argentina dengan sempadan negara Chile merentasi pergunungan Andes. Ia merupakan salah satu daripada tiga landasan kereta api tertinggi di dunia pada ketinggian 4,220 meter di atas paras laut.
Jangan pandang bawah!
5. Jambatan Vitim River
Terletak di Siberia, Vitim River adalah anak sungai Lena River. Jambatan selebar enam kaki ini hanya muat-muat untuk kereta bersaiz standard selain tidak mempunyai pagar atau susur penghadang.
Jambatan sepanjang 570 meter ini sering membeku kerana cuaca sejuk. Melintasi jambatan licin yang diperbuat daripada alang besi dan papan lapuk di tempat paling dingin di bumi ini amat menggerunkan!
Jambatan membeku dan licin, kalau tergelincir memang nahas!
6. Zoji La Pass, India
Zoji La Pass adalah laluan yang menjadi penghubung kehidupan buat penduduk Ladakh. Laluan ini menghubungkan mereka dengan dunia luar.
Laluan gunung sepanjang 9 km menghubungkan Kashmir dengan Ladakh, merentasi gunung-ganang pada ketinggian 3,528 meter tanpa penghadang jalan. Nak 'panjat' Genting Highlands pun kadang-kadang macam nak terkencing, inikan pula melalui jalan nan sempit ini!
Aduhai, sesak nafas melihat laluan bahaya dan sempit yang sesak
Mungkinkah?
Dapat naik kenderaan begini mungkin akan menjadi pengalaman yang tak dapat dilupakan, bukan? Dari udara ke daratan bila-bila masa saja. Selain itu, boleh menikmati pengalaman naik kapal terbang dan kereta api pada masa sama. Barangkali, kenderaan ini boleh menjadi kapal selam atau kapal yang belayar di lautan.
Dalam filem fantasi atau realiti?
Sesetengah orang suka mengembara untuk mencari kelainan. Tidak salah begitu, kan? Bagi kita yang penakut atau gayat, tengok gambar berikut pun dah cukup suspens! Ada yang nak bercuti sambil 'meredah' segala benda mengerikan ini? - CARI
|
|