Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan kira kira dua tahun lalu, dianggarkan 3.5 juta iaitu 17.5 peratus penduduk negara ini menghidap kencing manis atau diabetes.
Jumlah itu jauh berbeza dengan peratusan sekitar tahun 1960 an yang mana pada ketika itu hanya satu hingga dua peratus sahaja yang menghidapinya.
Peningkatan secara mendadak penyakit itu secara tidak langsung menyangkal dakwaan yang mengatakan penyakit itu hanya dihidapi oleh orang orang kaya dan yang tinggal di bandar.
Bahkan lebih membimbangkan, statistik turut menunjukkan peningkatan kes dalam kalangan usia muda yang meningkat kira kira tiga kali ganda sejak 15 tahun lalu.
Percaya atau tidak, pesakit serangan jantung termuda yang pernah dirawat di negara ini hanya berusia 19 tahun. Itu belum mengambil kira kes kematian mengejut akibat masalah jantung dalam kalangan generasi muda yang semakin banyak berlaku.
Pengarah Perubatan Ajwa Cor-poration, Dr. Leny Marlina Muskimin berkata, peningkatan jumlah pengidap diabetes dan tekanan darah tinggi merupakan penyumbang utama kes serangan jantung melibatkan golongan muda di negara ini dengan peratusan yang semakin membimbangkan.
Beliau berkata, diabetes menyebabkan komplikasi pada buah pinggang, mata dan jantung manakala tekanan darah tinggi pula menyebabkan gangguan pada pembuluh darah yang merosakkan sistem badan terutama pada bahagian jantung dan otak.
Katanya, penyakit yang sama juga dipercayai mempunyai kaitan dengan gangguan, pembesaran dan keradangan pada otot jantung yang menjadi punca kes kematian mengejut termasuk dalam kalangan mereka yang aktif bersukan.
Keadaan itu katanya menjadi lebih membimbangkan kerana tahap kesedaran masyarakat terhadap bahaya penyakit diabetes dan tekanan darah tinggi.
“Apabila bercakap mengenai diabetes dan darah tinggi, ramai tidak memandang serius tentang risiko dan ancaman penyakit jantung yang ‘dipakejkan’ bersama.
“Ada yang beranggapan bahawa diabetes boleh dikawal pada bila bila masa dengan mengurangkan makanan yang manis manakala darah tinggi pula dengan mengurangkan makanan masin.
“Sedangkan hakikat sebenar tiada u-turn untuk pulih sepenuhnya setelah menghidapi salah satu penyakit ini,” katanya.
Tambah beliau, selain kes melibatkan pengidap berusia muda, ibu bapa juga tidak seharusnya memandang ringan faktor obesiti yang boleh menyebabkan diabetes pada kanak-kanak akibat pemakanan tidak sihat.
“Obesiti yang berpunca daripada kandungan gula yang tinggi dalam badan boleh merosakkan sistem saraf bahkan dalam keadaan tertentu boleh membawa maut.
“Kes terbaru melibatkan mangsa berusia empat tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat kegagalan jantung kerana obesiti melampau,” ujarnya.
Justeru itu beliau menekankan pentingnya langkah pencegahan diabetes dimulakan sejak seawal usia melalui penjagaan pemakanan dan gaya hidup di samping melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.
“Masyarakat perlu memandang serius masalah ini supaya dapat mencegah awal berlakunya masalah gabungan 3 penyakit ini.