CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: Nicki_Meow

[Mini Novel] DUA DIMENSI

  [Copy link]
 Author| Post time 8-12-2017 11:49 AM | Show all posts
Edited by Nicki_Meow at 11-12-2017 02:38 PM

BAB 8

MALAM pun menjelma, namun gelap itu tidak menjejaskan kemeriahan suasana. Di dewan kecil yang terletak di tengah-tengah Taman Aurora tampak gemilang dengan hiasan pelbagai bentuk dan warna. Cahaya dari lampu pelita, membuatkan kawasan itu terang laksana siang. Bulan penuh, di temani bintang-bintang, menyuluhkan sinarnya ke dataran, seolah-olah turut mahu menyertai keramaian ini.   

Hanya sebatang lilin dinyalakan, lalu di letakkan atas peti sebelah jendela. Andra membelakangi kamar. Berdiri menghadap jendela yang terbuka luas. Kesibukan yang berlangsung di dewan kecil Taman Aurora, menarik perhatiannya. Suasana itu diperhatikan penuh khusyuk, tanpa menyedari bahawa dia juga perlu bersiap untuk majlis itu nanti.

“Terlalu asyik kau merenung ke luar.”

Andra tersentak. Lantas, dia berpaling ke belakang. Api dari lilin menari meliuk-lentuk tatkala ditiup angin namun, yang lebih bercahaya dari itu, datangnya dari sepasang anak mata tajam bak helang. Ia merenung lembut, lantas menusuk terus ke dalam hati. Kehadiran gadis itu membuatkan degupan jantung tergendala.

“Mengapa bersembunyi dalam gelap?”

Andra cuba berkata sesuatu. Sayang, patah perkataan yang cuba di lontar tersekat di kerongkong. Dia hanya melihat Syakilla bergerak di sekeliling kamar, menyalakan lilin dan pelita. Akhir sekali, Syakilla menurunkan salah satu lampu kandil yang tergantung di tengah bilik, menyalakan ke semua sumbu lilin dan menaikkannya kembali.

Kini, kamar itu terang-benderang.

“Maaf. Aku masuk tanpa kebenaran. Sudah berkali-kali pintu kamar ini aku ketuk tapi, tiada sahutan.”

Andra tak menyahut. Dirinya bagai dijampi dengan seri dan keanggunan yang terbias dari gadis itu, membuatkan dia berterusan bisu. Mata terus terpaku pada susuk tubuh tinggi lampai yang disaluti gaun labuh polos berwarna biru gelap. Seutas kalung perak elok terletak di lehernya yang jinjang. Sungguhpun hanya seringkas itu perhiasan yang dipakai, langsung tidak menjejaskan kejelitaannya.Kemerahan bibirnya bak delima merekah.  Rambut hitam ikal mayang ditocang separuh dan dihiasi dengan bunga-bunga kecil berwarna putih.

Sungguh, persona itu menganggu ketenteraman jiwa.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 8-12-2017 02:35 PM | Show all posts
Edited by Nicki_Meow at 10-12-2017 12:14 AM

“Andra.”

“Ya.” Pada panggilan kedua, barulah Andra menyahut sepatah.

“Bagaimana keadaanmu?”

“Ba…baik.”

“Baguslah. Kau membuatkan kami semua runsing. Aku terpaksa menahan bonda dan Arania dari ke mari. Mereka berdua ada lebih banyak perkara yang perlu di beri perhatian selain dari perkara remeh seperti ini.” Syakilla memberi teguran, tegas kedengarannya.

“Dan kau tidak seharusnya memarahi pembantumu yang banyak berjasa. Tanpa Madein, urusan harianmu takkan lancar.”

Dahi Andra berkerut, cuba mencerna maklumat yang baru diterima.   

“Putera Andra.” Satu suara lebih garau dan perlahan, memanggil namanya. Barulah Andra sedar, bukan hanya Syakilla yang ada di sini.

“Maafkan patik kerana membuat putera murka. Patik hanya menjalankan tugas seperti biasa. Andai selepas ini, ada perkara yang tidak berkenan, harap segeralah memberi teguran.” Madein tunduk tatkala berkata.

Andra merenung Madein tanpa suara. Dia tak tahu apa yang perlu dikatakan kepada Madein. Jujurnya, kejadian yang berlaku tadi hanyalah reaksi spontan kerana terkejut. Bukan niatnya hendak memarahi Madein. Dan lagi, dia tidak sedar bahawa Madein itu adalah pembantunya.

“Jadi, kau adalah pembantuku?” Soal Andra.

Madein dan Syakilla saling berpandangan, menarik nafas dan tergeleng kecil.

“Madein, lupakanlah saja hal petang tadi. Kamu sedia maklum akan tahap kesihatan Andra bukan?” Tutur Syakilla.

“Patik mengerti, Puteri.” Balas Madein.

“Sekarang…lakukanlah tugasmu seperti biasa. Majlis akan bermula tidak lama lagi. Andra perlu bersedia secepat mungkin.”

“Baik Puteri.” Madein berpaling pada Andra.

“Putera Andra, kita perlu bersiap sekarang.”

Andra masih tercengang.

“Putera Andra.” Madein terus menanti.

“Bersiap ke mana?” Soal Andra, kebingungan.

Syakilla menarik nafas, memejamkan mata. Segenap kesabaran diraih melayani sikap Andra. Ingatan Andra datang dan pergi. Sikapnya pula berubah-ubah mengikut angin. Selalunya murung namun kadangkala, tanpa amaran Andra boleh bertindak di luar jangkaan. Adakalanya, Syakilla ingin mengalah namun, dia cuba sedaya-upaya untuk bertahan.

Demi satu janji yang tak pernah terungkap, namun di mengerti.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 8-12-2017 02:40 PM | Show all posts
Edited by Nicki_Meow at 11-12-2017 02:40 PM

“Mengapa bersedih?”

Suara itu terlalu dekat. Syakilla membuka mata. Andra sedang berdiri di hadapan, memandang telus. Renungan itu teramat dalam lalu tembus ke hati. Untuk seketika, Syakilla hilang bicara.

“Maaf sekiranya kesedihanmu berpunca dari aku.”

Kedengaran lirih. Syakilla melarikan pandangan. Getaran itu tak mampu di tanggung lebih lama.  

“Kau perlu bersiap secepat mungkin, Andra. Usah biarkan ayahanda, bonda dan Arania tertunggu-tunggu. Majlis akan bermula bila-bila masa dari sekarang. Madein…” Syakilla memberi isyarat mata pada Madein, agar membantu Andra.

“Baiklah.” Madein yang memang sentiasa bersedia, terus menunggu.

“Nanti.” Andra berkata apabila melihat Syakilla melangkah pergi. “Nak pergi mana?”

“Ke tempat di mana khidmatku lebih diperlukan.” Jawab Syakilla, bersahaja.

“Jangan ke mana-mana.” Andra melarang. “Tunggu di sini.”

“Di sini?” Alis Syakilla terangkat.

“Di sini.” Andra meletakkan tapak tangan ke dada. “Tunggu aku di sini, jangan ke mana-mana.”

Syakilla terpanar.

“Tunggu aku.” Andra mengulanginya untuk kesekian kali dan kemudian, dia berpaling kepada Madein.   

“Aku mahu bersiap sekarang.” Andra berkata. Madein seperti biasa, akur pada arahan. Dengan tertib, dia menunjukkan arah ke bilik kecil di sebelah kiri, di mana semua pakaian dan busana milik Andra berada.

Permintaan Andra ditunaikan. Syakilla hanya memandang Andra dan Madein sehinggalah kelibat kedua-duanya menghilang. Seketika kemudian, Syakilla menuju ke jendela yang terbuka luas. Pandangan dilanjutkan ke seluruh kemeriahan Taman Aurora.

Bukan Taman Aurora itu yang menarik perhatian. Ingatan pada kata-kata Andra sebentar tadi telah menghuni fikiran.

“Tunggu aku di sini.”

Loket permata baiduri yang tergantung dileher, Syakilla genggam erat.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 10-12-2017 12:08 AM | Show all posts
Edited by Nicki_Meow at 11-12-2017 02:43 PM

KENANGAN lama itu kekal segar dalam ingatan.

KETIKA petang musim luruh itu, pada hari-hari terakhir di perguruan, Syakilla sengaja mencuri masa untuk pergi ke tempat kegemarannya. Sendirian, tanpa memaklumkan kepada sesiapa hatta Arania sekalipun. Secara senyap, Puncak Maiya ditinggalkan dengan hanya berbekalkan busur dan panah pemberian Guru. Begitupun, kehilangannya bukan satu makhfi. Andai perlu, mereka pasti tahu di mana hendak mencari.

Cari saja di Lata Atari.

Lata ini agak terpencil dan kurang menjadi bualan serta kunjungan ramai. Mungkin kerana letaknya di perbukitan. Tidaklah jauh dari Puncak Maiya namun harus menuruni bukit untuk sampai ke sini. Jalannya pula berliku-liku dan berselirat dengan akar-akar pohon kayu. Walaupun sudah terlalu biasa dengan lorong dan denainya, Syakilla tetap berhati-hati dan berwaspada melangkah.  

Bunyi air menghujam kolam mulai kedengaran, tanda dia semakin menghampiri Lata Atari. Sekiranya punya masa terluang, suka dia menghabiskan masa disini, biarpun sekadar duduk memerhatikan air yang mengalir turun. Tambahan pula, tidak lama lagi Puncak Maiya akan ditinggalkan. Sedapat mungkin, dia mahu menggunakan masa yang ada untuk menikmati keindahan tempat ini.

Tiba jua. Lata Atari berada di depan mata. Hati berlagu riang. Air terjun mencurah-curah turun, membuatkan kawasan itu langsung tidak sunyi. Di susuri kawasan itu sehingga langkahnya tiba di sebuah tasik kecil. Jernihnya air tasik itu sehingga hampir menampakkan dasar. Syakilla melabuh duduk di tepi tasik. Busur dan anak panah diletakkan di sebelah.

Bersendirian menikmati keindahan alam memberi satu ketenangan tak terungkap dengan kata. Sesekali, sibur-sibur yang terbang hinggap di rumput hijau menggamit perhatian. Beberapa ekor rama-rama berkejaran membuatkan hatinya tercuit.

“Inra.” Syakilla terjerit kecil, girang. Melayang terbang menuju padanya, seekor Cenderawasih warna perang berekor putih, melayah di kepala sebelum hinggap di bahu.

“Aku ingat, kau tak datang.” Ujar Syakilla. Inra berbunyi perlahan, seolah-olah menidakkan kata-kata Syakilla. Ia menundukkan kepala dan Syakilla mengusap penuh sayang.

“Manja sungguh si Cenderawasih.”

Terkejut mendengar suara tak dikenali, Inra terbang pergi, lalu hinggap di dahan tinggi. Geram kerana diganggu, Syakilla bangkit dan terus berpaling.

Senyum dari lelaki itu membuat dia tergamam.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 10-12-2017 12:13 AM | Show all posts
Edited by Nicki_Meow at 11-12-2017 02:46 PM

“Andra...” Sebut Syakilla, perlahan. Debar, terus dia melarikan pandangan.

“Bersendirian lagi?” Tanya Andra.

“Begitulah nampaknya.” Balas Syakilla, kini turut mengukir senyum.

“Mahukan teman?”

Tanya yang ini, Syakilla biarkan saja tanpa jawapan. Perlahan-lahan, dia berpusing dan berjalan pergi.

“Tunggu aku.” Andra memanggil dan lantas menyaingi langkah si gadis bermata tajam bak helang itu.

Tanpa bicara, mereka jalan seiring menyusuri tasik kecil dan terus menghampiri air terjun yang mencurah-curah. Beberapa kali, Andra mengerling Syakilla, mencuri pandang pada wajah manis di sebelah, kelihatan tenggelam dalam lamun. Sepertinya, gadis itu sedang berfikir tentang sesuatu.  

Tak semena-mena, Syakilla melangkah dua tapak lebih laju dan menghadang langkah Andra dari depan.

“Mengapa tiba-tiba ke mari?" Soal Syakilla.

“Apa?” Terkejut, Andra tak dapat menangkap tanya yang dilontar.

“Mengapa ke mari?” Ulang Syakilla, lebih kuat.

“Oh…itu...” Lambat-lambat Andra menjawab. “Aku rindukan tempat ini.” Jawabnya, berkias.

“Hanya sebab itu?”

Andra senyum. “Tak percaya? Atau kau mengharapkan jawapan selain dari itu?”

“Adakah jawapan selain dari itu?” Syakilla menyoal kembali.

Andra tertawa kecil. "Ada." Terus merenung lagi.

Syakilla melarikan pandangan. Dia berdiri di pinggir datar, menghulurkan jari-jemarinya ke air yang mencurah, dibiarkan basah.

“Sebenarnya, aku gembira kau akan tinggalkan Puncak Maiya dan kembali ke Suriyan, tidak lama lagi.” Lanjut Andra. Syakilla kekal diam namun, bibirnya mulai menguntum senyum.

“Jadi, untuk meraikannya, aku ingin memberi sesuatu kepadamu.” Andra menanggalkan kantung yang tergantung dilehernya. Tangan menyeluk ke dalam lalu mengeluarkan sesuatu.

“Nah.” Batu berkilau warna biru jernih itu disuakan kepada Syakilla. Teragak-agak, namun Syakilla sambut juga.

“Cantik.” Syakilla membelek-belek. “Tapi, bukankah masih terlalu awal? Aku hanya akan pulang, kurang sepurnama dari sekarang.”

“Aku mahu jadi orang pertama yang meraikannya.” Balas Andra. “Bolehkan?”

“Sudah tentu.” Syakilla senyum lagi. Lebih manis kali ini. Permata Baiduri pemberian Andra digenggam erat.


DAN masih terus digenggam sehingga saat ini. Ianya lambang sebuah janji tak terungkap, yang kini…semakin dilupakan.

Imbasan kenangan lalu pun beransur-ansur hilang.

“Puteri Syakilla.”

Tanpa menyahut panggilan dari Madein, Syakilla berpaling ke belakang.  

Senyuman bersahaja dari Andra itu membuat dia terpanar sekali lagi. Tidak kelihatan Andra yang murung dan suram. Andra yang bengis dan pemarah. Andra yang selekeh dan tak terurus. Semuanya hilang disebalik penampilan kemas dan segak busana biru gelap yang tersarung ditubuh, menyerlahkan aura seorang Putera yang sekian lama, sirna.

“Sekarang Putera Andra sudah bersedia untuk ke majlis rasmi.” Ujar Madein, tanpa menyedari, ada dua pasang mata sedang saling merenung antara satu sama lain.

"Terima kasih, kerana masih menunggu di sini." Andra bersuara lirih.

“Kita harus pergi sekarang.” Setelah di cuba beberapa kali, Syakilla berjaya juga melontar suaranya. Hanya anggukan diterima dari Andra sebagai tanda persetujuan.

Di temani Madein si pendamping setia, mereka jalan beriringan keluar dari kamar.
Reply

Use magic Report

Post time 10-12-2017 12:59 PM | Show all posts
Nicki_Meow replied at 10-12-2017 12:08 AM
KENANGAN lama itu kekal segar dalam ingatan.

KETIKA petang musim luruh itu, pada hari-hari terakh ...

syakilla menikmati lata atari


psstt... baca nama madein otomatik teringatkan forumer CI

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 10-12-2017 10:16 PM | Show all posts
Nicki, best bahasanya
Banyak perkataan yang aku tak tahu maknanya
Terbega- bega, sabuk
Bunga rosoideae tu macam mana ghupanya..
Satu lagi, perkataan mandi rasanya elok ditukar ke bersiram since itu bahasa orang istana kan
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 11-12-2017 02:59 PM | Show all posts
Ipo replied at 10-12-2017 10:16 PM
Nicki, best bahasanya
Banyak perkataan yang aku tak tahu maknanya
Terbega- bega, sabuk

Thanks Ipo . Jari keras lagi sebenornye ni

Kamus online DBP banyak membantu

Bunga rosoideae tu nama saintifik untuk bunga rose

Thanks for suggestion. Dah tukar mandi pada bersiram
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 11-12-2017 03:01 PM | Show all posts
ladyFinger12 replied at 10-12-2017 12:59 PM
syakilla menikmati lata atari

Lawo gambo.... nak gambo Andra lak, boleh?

Memula taip Madein, tak terfikir pun forumer CI. Lepas Lady bgt.... haaaiihhhh lah. Nak tukar dah malas.
Reply

Use magic Report

Post time 11-12-2017 04:24 PM | Show all posts
Nicki_Meow replied at 11-12-2017 03:01 PM
Lawo gambo.... nak gambo Andra lak, boleh?  

Memula taip Madein, tak terfikir pun forumer C ...

mmg nak tepek gambar andra sekali tp ada terbaca somewhere ciri2 andra... rambut sama rata paras telinga. Entah kenapa minda iols terbayangkan temenggung jugah

langsung tak jd tepek gambar andra yg hensem bangat itteww
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 11-12-2017 04:30 PM | Show all posts
ladyFinger12 replied at 11-12-2017 04:24 PM
mmg nak tepek gambar andra sekali tp ada terbaca somewhere ciri2 andra... rambut sama rata paras t ...

Cisss... temenggung jugah?

Tepeklah. tepeklah. Setakat rambut temenggung jugah tu boleh aje di adjust jadi rambut fattah amin
Reply

Use magic Report

Post time 11-12-2017 04:37 PM | Show all posts
Nicki_Meow replied at 11-12-2017 04:30 PM
Cisss... temenggung jugah?

Tepeklah. tepeklah. Setakat rambut temenggung jugah tu bol ...

kena cari balik nihh
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-12-2017 04:44 PM | Show all posts
Edited by Nicki_Meow at 16-12-2017 04:17 PM

BAB 9

TUNDUKAN hormat di terima dari para dayang dan pengawal, tatacara takzim sahaya dan marhaen setiap kali berhadapan dengan keluarga di raja. Bisikan-bisikan halus mulai kedengaran tatkala putera dan puteri di raja itu menyusuri sepanjang anjung, menuruni tangga berpilin dari aras tiga, langsung ke bawah. Tidak kurang yang terkesima dengan aura dan persona dari keduanya, yang tampak sedondon dalam busana biru, anggun dan berkarisma.

Lalu, mereka mulai berteka-teki. Adakah keduanya telah menjadi pasangan merpati dua sejoli?
Ada yang turut bertanya, apakah Sang Putera sudah pulih dari gering?
Dan setiap persoalan itu terbiar begitu saja tanpa jawapan.

Langkah kekal seiring, teratur sebelah menyebelah, tidak cepat dan tidak lambat. Tiada bicara di antara mereka, hanya jeda. Baik Andra mahupun Syakilla, kedua-duanya bagaikan tenggelam melayani rasa yang cuma mereka saja yang tahu. Madein berada senyap menuruti di belakang, tetap setia dan bersedia andai khidmatnya diperlukan.

Mereka mendatangi balai tetamu. Telah menjadi protokol agar seluruh keluarga di raja berkumpul sebelum bersama-sama menuju ke dewan di mana majlis bakal berlangsung. Agak kesal apabila mendapati, Raja Amsyar, Ratu Malaeka dan puteri yang bakal dirai telah tiba lebih awal. Sepertinya dia telah melanggar adat kerana membuat pemerintah Amariya menunggu. Syakilla membuat isyarat, menggesa Andra supaya berjalan lebih cepat. Andra hanya mengikut tanpa banyak soal.

Tunduk hormat terus diberikan sebaik saja berhadapan dengan keluarga di raja itu.

“Maafkan anakanda kerana terlewat.” Sopan Syakilla berkata.

Andra sebaliknya, berdiri tergamam di situ. Satu ingatan tercetus, bagai di asak ke dalam fikirannya namun berbalam. Seakan pernah dia lihat wajah itu tetapi, versi yang lebih muda tanpa pirau uban di rambutnya, tanpa kumis nipis pada bibirnya, tanpa garisan halus di dahinya. Begitupun, sorot mata yang dalam tetap kekal, membuatkan serta-merta Andra tahu, itulah Raja Amsyar, pemerintah agung Amariya. Masih tersisa tubuhnya yang tegap dan kekar walaupun dimamah usia.

Kerana terlalu memaksa otaknya berfikir, Andra mula merasa seakan nyilu menyengat di belakang kepala. Spontan, tangan menyentuh kepala.

“Anakanda tak apa-apa?”

Andra beralih pandang kepada empunya suara. Soalan itu datangnya dari seorang wanita lebih berusia. Meskipun begitu, kejelitaannya terserlah, bagai tak terkesan dek waktu. Rona wajahnya yang lembut, penuh keibuan itu memberi sedikit ketenangan.

“Tak…tak apa-apa.” Jawab Andra, tersekat-sekat.

“Lega bonda mendengarnya.” Sejurus, Ratu Malaeka mara ke depan, lalu memeluk Andra erat. Kerana tergamam, Andra membiarkan saja sehingga pelukan itu terlerai sendiri.

“Kanda Andra.” Arania pula menyapanya. Puteri yang dirai itu tersenyum manis. Busana warna hijau zamrud menyaluti tubuhnya yang tinggi lampai. Rambut lurus perangnya disanggul rapi. Sebentuk tiara halus bertatah berlian menjadi hiasan di kepala. Wajah rupawan itu dirias berbeza, tampak matang dan penuh berkeyakinan. Jelas sekali, kejelitaan Arania diwarisi dari bondanya.   

Dan Arania juga turut memeluknya penuh kasih. Seperti tadi, Andra membiarkan saja pelukan itu terlerai dengan sendiri.

Andra kembali bertatapan dengan Raja Amsyar. Mata pemerintah Amariya itu merenung padanya, redup. Sukar Andra hendak menafsir akan maksud pandangan itu. Dipaksa mulutnya terbuka, lalu dia berkata.

“Ayahanda, bonda. Adindaku…Arania.”

Ketiga-tiganya tampak gembira dan terharu dalam masa yang sama. Raja Amsyar menepuk bahu Andra perlahan, beberapa kali. Gelagat mereka sepertinya menyambut kepulangan seorang pengembara yang telah lama berkelana. Hanya Syakilla kekal bersahaja, bagai tidak terkesan dengan situasi itu.

Pertemuan itu terganggu. Seorang pengiring sahaya yang agak berusia, datang menghampiri, meminta kebenaran untuk memulakan majlis. Raja Amsyar memberi persetujuan tanpa banyak bicara. Lalu, mereka bersedia. Raja Amsyar dan Ratu Malaeka berdiri sebelah menyebelah. Di belakangnya, Puteri Arania di apit oleh Putera Andra di sebelah kanan dan Puteri Syakilla di sebelah kiri.

Pengumuman ketibaan keluarga Di Raja pun bergema…
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-12-2017 04:48 PM | Show all posts
Edited by Nicki_Meow at 17-12-2017 01:11 PM

DEWAN itu tidaklah terlalu besar. Letaknya di dataran terbuka, dalam Taman Aurora. Selalunya, kawasan itu dibiarkan kosong. Kadangkala, ianya menjadi tempat bermain bagi anak-anak perkerja di Istana Suriyan.  Malam ini, kawasan itu berubah wajah. Dewan itu kini terhias cantik dengan pelbagai bunga-bungaan segar. Cahaya dari lilin dan pelita menerangi keseluruhan dalam dewan. Terdapat sebuah meja panjang yang merentangi dewan, khas untuk para tetamu. Di hujung dewan, persada gah buat keluarga di raja telah tersedia.

Perjalanan majlis keramaian ini lancar sekali. Di mulakan dengan ucapan aluan dari Raja Amsyar sendiri, dan kemudian Puteri Arania diperkenalkan kepada umum. Nyata menepati ramalan, Puteri Arania berjaya menyerlahkan sisi dinamik yang berbeza, lantas menolak tanggapan skeptikal dari mereka yang tidak yakin dengannya. Puteri itu tidak lagi dikenali hanya kerana berwajah jelita, tetapi juga mempunyai sikap yang penuh berwibawa dan berketerampilan sebagai pemerintah tertinggi Amariya satu hari nanti.

Masa terus berlalu. Jika pada awal tadi, majlis berjalan penuh dengan adat dan protokol. Kini, keadaan menjadi lebih santai. Para tetamu bebas berbual sesama sendiri tanpa mengira keturunan, pangkat dan kedudukan. Masing-masing bertanya khabar dan menyampaikan berita, sambil beramah-mesra dan menikmati hidangan yang telah tersedia.

Sungguhpun majlis ini adalah untuk meraikan Puteri Arania, putera sulung keluarga di raja itu tidak kurang menjadi tumpuan. Putera Andra telah dikhabarkan jatuh gering dua purnama dahulu, sehingga terpaksa menyembunyikan diri kepada umum, kini memunculkan diri pada malam ini. Ianya menimbulkan pelbagai reaksi dan spekulasi dari para tetamu, mempersoalkan tahap kesihatannya dan adakah putera itu cukup waras untuk dibiarkan berada di khalayak ramai tanpa pengawasan.

Dan itu, menimbulkan rasa kurang selesa kepada Andra. Setiap mata-mata yang memandang dan bibir yang berbisik-bisik, membuatkan dia berterusan janggal berada di situ. Apatah lagi, dia tidak dapat mengingati langsung wajah dan nama, tatkala mereka-mereka itu datang menegur dan menyapa sungguhpun, mereka mempamerkan sikap mesra. Mungkin, dia silap menilai tapi Andra merasakan mereka hanya berpura-pura.

Lalu, Andra memilih untuk bersendirian, memencilkan diri di satu sudut dewan sambil memerhatikan saja tetamu yang ada. Dia tidak betah bercampur-gaul dengan mereka. Biarlah jika mereka mengatakan, dia sombong tidak budiman, tidak diendahkannya. Lagipun, malam ini adalah malam untuk meraikan Arania, bukan dia. Berikanlah saja tumpuan pada Sang Puteri itu, bukan dirinya.

Seorang biduanita sedang menghiburkan para tetamu dengan gita yang merdu. Andra langsung tidak tertarik. Fikirannya kosong. Pandangan ditebarkan ke seluruh Taman Aurora nan indah, yang kini dipenuhi dengan taburan cahaya lilin pada padang rumputnya. Dan saat Andra mulai berkira-kira untuk meninggalkan majlis ini secara senyap, muncul seseorang disisi lalu memanggil namanya.

“Putera Andra.”
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-12-2017 04:53 PM | Show all posts
Suara itu tidaklah terlalu garau, namun agak redam. Andra menoleh ke sebelah. Seraut wajah lebar tapi rancung di dagu, bersih tanpa sebarang kumis dan janggut sedang tersenyum kepadanya. Tubuh kekar tinggi, hampir setinggi Andra. Ada kesan parut yang hampir pudar pada pipi kanan, berhampiran telinga.

“Lama kita tak berjumpa.” Lanjut pemuda itu.

“Apakah kita pernah bertemu sebelum ini?” Soal Andra. Memerhatikan parut pudar pada wajah Zuhriel.

“Ini patik, putera. Zuhriel.”

Andra terpinga-pinga. Cuba mengingati nama dan wajah yang berkata-kata namun gagal. Cuma…parut itu...memberi gambaran kabur di minda.

“Hhmm.” Zuhriel tergeleng kecil. Sejenak dia memerhatikan Andra dari atas ke bawah.

“Maka, benarlah kata mereka. Putera Andra telah hilang ingatan.” Senyuman mesra yang terukir di bibir Zuhriel tadi telah bertukar sinis. “Aku pelik. Mengapa baginda Raja membenarkan kau hadir ke majlis ini. Apakah baginda tidak bimbang, kau akan bertindak seperti kurang siuman?” Sopan-santun yang ditunjukkan tadi juga hilang.

Andra tidak menjawab. Kata-kata Zuhriel tidak diendahkan. Otaknya sedang ligat berfikir tentang parut yang ada pada wajah Zuhriel.

“Kita pernah berjumpa sebelum ini, bukan?” Soal Andra, mahukan kepastian.

“Andra…Andra.” Zuhriel tergeleng kecil. “Kalau beginilah keadaannya, takhta Amariya tak mungkin dapat kau takhluki kembali. Apa benar, kau mahu biarkan adindamu yang cetek fikiran itu sewenang-wenangnya menjadi pemerintah?”

Andra membisu, wajahnya berkerut. Setiap patah kata yang terhambur dari bibir Zuhriel kedengaran jengkel. Begitu berani dan angkuh, tanpa adab.

“Adakah kau sedar, dengan siapa kau berbicara?” Intonasi suara Andra tidak tinggi, namun cukup untuk memberi bayangan bahawa ianya penuh dengan amaran.

Suasana hening menyelubungi mereka. Raut wajah Zuhriel berubah, merenung tajam pada Andra. Andra tidak pula berpaling mahupun mengalah, turut mencabar dalam renungan balas.

“Maafkan patik, Putera Andra.” Akhirnya, Zuhriel membuka bicara, memilih untuk mengalah pada waktu ini. Tunduk hormat diberikan kepada putera raja itu.

“Semoga bertemu lagi.” Seraya berkata, Zuhriel senyum sinis. Sedetik kemudian, dia terus menghilangkan diri.

Parut itu. Teka-teki mula bermain di benak Andra.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-12-2017 06:16 PM | Show all posts
Edited by Nicki_Meow at 17-12-2017 12:59 PM

CAHAYA yang disangka lilin itu, rupanya terbit dari bunga berkelopak lima yang tumbuh melata di dalam taman. Ianya umpama kelip-kelip, menerangi kawasan itu dengan sinaran malarl. Memberi satu pandangan fatamorgana serba indah dan mengasyikan namun aneh dalam masa yang sama.

Dewan majlis sudah berpuluh langkah ditinggalkan. Suara biduanita yang beralun merdu juga sayup-sayup pada pendengaran. Andra merasakan, tidak ada keperluan untuk dia terus berada dalam keramaian itu. Lagipun, dia tidak betah menunggu lebih lama. Rimas dengan mata-mata yang memandang seolah-olah dia haiwan ganjil yang harus mereka waspada. Tambahan pula, kemunculan Zuhriel secara tiba-tiba itu tadi, membuatkan dia resah tanpa sebab.

Andra menyusuri Taman Aurora, ralit memerhatikan bunga aneh yang bertaburan atas padang. Hanya dengan memerhatikan bunga itu, galau yang bertandang, beransur-ansur hilang. Entah mengapa, hati rasa terhibur memandang cahaya-cahaya kecil itu. Dia terus berjalan, umpama kanak-kanak riang sambil jarinya menyentuh bunga-bunga yang sempat di capai.

Di petik sekuntum, lalu di letakkan atas tapak tangan. Andra mengangkat ke paras mata dan menutup dengan tangan yang sebelah lagi. Seketika, cahaya itu lenyap, terkurung dalam genggaman. Tangan di buka semula, cahaya bunga kembali.

Dan cahaya itu membawa pancainderanya melihat pada sesuatu lebih indah, tidak jauh di hadapan.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 16-12-2017 04:21 PM | Show all posts
Edited by Nicki_Meow at 17-12-2017 01:05 PM

SYAKILLA termenung jauh. Sengaja dia ke sini berseorangan, meninggalkan sementara majlis keramaian. Bukan sengaja mahu memencilkan diri, tapi dia sememangnya kurang gemar berada dalam khalayak ramai. Tidak tenang rasanya. Maka, dia pun ke mari, mencuri waktu untuk diri sendiri. Lagipun, tiada keperluan untuk dia mendampingi Sang Puteri pada ketika ini. Arania seharusnya menikmati saat-saat kemayshuran itu bersama-sama keluarga tercinta.

Hembusan nafas lembut dilepaskan dari bibir.

Sekuntum bunga bercahaya gugur lalu mengocak air kolam. Perhatian Syakilla teralih pada kuntuman bunga, yang kini menyusur perlahan di atas air.

Dan di situ, pandangan bersatu. Pada biasan dalam air itu, tatapan seolah-olah terkunci. Untuk beberapa lama, mereka berjeda. Hanya merenung wajah satu sama lain melalui bayangan.

Sekuntum lagi Moneira gugur di atas air lantas bayangan mereka berkocak. Syakilla mengangkat wajah. Kini, mereka bertentangan mata.

Satu.
Dua.
Tiga.

Serentak, mereka melarikan pandangan, pada sinar bulan di langit malam, pada bintang yang berkelipan.

“Ehem.” Andra memecah sunyi. Dengan langkah perlahan, Syakilla di hampiri. Tanpa meminta kebenaran, dia melabuh duduk, tidak jauh dari gadis itu. Syakilla masih membisu.

“Nah.” Andra menghulurkan tangan kanan yang tergenggam, lalu di buka, mempamerkan bunga kecil bercahaya. Syakilla senyum, mendepakan tangan untuk menyambut. Dengan berhati-hati, Andra meletakkan bunga itu di atas tapak tangan Syakilla.

“Terima kasih.” Syakilla membawa bunga itu ke pangkuan.

“Bunga ini sangat ganjil.” Tutur Andra. “Tak pernah aku lihat bunga yang bercahaya seperti ini.”

"Tak pernah?" Alis Syakilla terangkat, memandang wajah Andra seketika, sebelum berpaling ke hadapan dan berkata.

“Bunga ini namanya Moneira.”

“Moneira…” Andra mengulanginya.

“Pada waktu siang, bunga putih ini kelihatan biasa saja, tidak ada yang istimewa. Kecil dan tumbuh melata di dataran. Hanya bila malam menjelang, barulah Moneira menyerlah, bagai bintang yang berkelip di langit. Kerana itu, ada juga yang menggelar bunga ini Bintang Malam.”

Andra asyik memerhatikan bibir yang bergerak tatkala bersuara, lalu beralih pada raut wajah bujur sirih, serta hidung lancip terbentuk bak seludang. Kemudian, melewati ke atas lalu bertembung dengan sepasang mata tajam bak helang. Di situ, renungan kekal untuk satu detik yang panjang. Fikirannya tak semena-mena melayang pada satu kenangan yang kabur.

Kabur, namun masih dapat merasa keasyikan yang penuh dengan kemanisan.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Walaupun benangku krikkrikrik tapi nak jugak letak gambar ni
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 16-12-2017 04:28 PM | Show all posts
Edited by Nicki_Meow at 17-12-2017 01:10 PM

Seperti Moneira yang bercahaya dalam gelap
Begitulah rasa yang akan sentiasa menerangi jiwa dan ragamu


Bait-bait bicara itu terngiang-ngiang di telinga, dipuisikan oleh satu suara lembut lagi lunak.

Suara siapa?
Di mana?  

Sedaya-upaya, Andra cuba mengingatinya namun gagal. Akibat mengerah fikirannya terlalu keras, rasa ngilu itu datang menyengat. Andra terus tertunduk menampung kepala dengan dua tangan.

“Kau tak apa-apa, Andra?” Soal Syakilla. Cemas apabila melihat Andra tiba-tiba saja merusuh kesakitan.

“Andra?”

Andra tidak menyahut.

“Lebih baik kita pulang ke istana dan dapatkan rawatan.” Saran Syakilla.

“Nanti.” Andra menahan. “Jangan ke mana-mana.”

“Tetapi keadaanmu…”

“Aku tak apa-apa.” Jawab Andra. “Benar, aku tak apa-apa.”

Syakilla menarik nafas. “Baiklah.”

Suasana bertukar hening. Syakilla menelan rasa cemas dan bimbang, merenung Andra yang masih tunduk menahan sakit.

“Boleh aku bertanya?” Andra bertanya, setelah membisu beberapa ketika.

“Silakan.”

“Kau dan aku, adakah kita pernah rapat sebelum ini?”

Syakilla terdiam, menggigit bibir bawah. Tidak tahu bagaimana harus dijawab soalan itu.

“Ya, kita memang rapat. Kau dan aku…” Syakilla menghela nafas seketika. “Bersaudara.”

"Kita rapat hanya kerana kita bersaudara?"

Tanya itu, tidak Syakilla jawab.

“Siapa aku?” Soal Andra lagi.

Mata Syakilla membulat. Kurang mengerti dengan pertanyaan yang diberi.

“Jawablah.” Suara Andra kasar meninggi.  

“Kau adalah Putera Andra, anakanda kepada Raja Amsyar, pewaris kerajaan Amariya.”

“Apa yang telah terjadi kepadaku?”

Dahi Syakilla berkerut. Sikap Andra yang tiba-tiba berubah membuatkan dia mulai berwaspada.

“Tiada siapa yang benar-benar mengetahui apa yang telah terjadi kepadamu. Kau dijumpai tidak sedarkan diri, berhampiran Hutan Mikali.”

“Hutan Mikali?”

Syakilla mengangguk. Serentak dengan itu, Andra jatuh ke tanah.

“Andra…” Syakilla menerpa, mendapatkan Andra yang kini terbaring dan meronta-ronta.

“Arrgghh…” Andra meraung. Jari mencengkam rambutnya sekuat hati, menahan sakit tak terperi. Pandangannya perlahan-lahan menjadi kabur dan telinganya berdesing.

“Andra!”

Tiada asa lagi untuk bertahan.
Semuanya bertukar gelap dan sepi.
Reply

Use magic Report

Post time 16-12-2017 09:56 PM | Show all posts
Nicki_Meow replied at 16-12-2017 04:21 PM
SYAKILLA termenung jauh. Sengaja dia ke sini berseorangan, meninggalkan sementara majlis keramaian.  ...

sedondon dalam busana biru...


Reply

Use magic Report

Post time 16-12-2017 09:58 PM | Show all posts
Edited by ladyFinger12 at 16-12-2017 10:01 PM

Puteri Arania

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-6-2024 08:21 AM GMT+8 , Processed in 0.084008 second(s), 43 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list