CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: Nicki_Meow

[Mini Novel] DUA DIMENSI

  [Copy link]
 Author| Post time 23-11-2017 10:55 AM | Show all posts
Edited by Nicki_Meow at 23-11-2017 08:54 PM

“Kenapa tidak mahu mengeluarkan pedangmu?” Syakilla bertanya.

“Pedang ini hanya digunakan pada musuh.” Balas Arania. Syakilla tertawa lalu melunturkan siap-siaganya. Jari-jemari digerakkan menghilangkan rasa sengal akibat berbalas serangan tadi.

“Aku sudah lama tidak melihat kau bermain pedang, Arania. Kehebatan kau menggunakan pedang, tak dapat disangkal lagi.” Ujar Syakilla kemudiannya. Arania hanya senyum, tidak membalas.

“Aku berkata benar, bukan bergurau…”

“Tak usahlah memujiku terlalu tinggi. Kau juga sama hebatnya.” Balas Arania.

Syakilla tertawa. Busur dan panah kepunyaannya di letakkan cermat ke bawah. Arania menuruti perbuatan itu dengan meletakkan pedang. Kemudian, mereka berdiri tegak, sebelah-menyebelah. Tapak tangan dirapatkan, bertemu kiri dan kanan. Setelah itu, keduanya membuat satu gerakan bela diri, tetapi lebih gemalai dengan tujuan untuk mengatur kembali pernafasan.

Tamat melakukan gerakan itu, mereka berdiri berhadapan dengan tangan masih rapat kiri dan kanan, lalu tunduk. Ianya tatatertib yang diperturunkan dari Sang Guru sebagai tanda hormat kepada saudara seperguruan. Rumput tebal menghijau itu, kini menjadi tempat mereka melabuh duduk. Untuk seketika, keduanya berdiam diri. Tanpa jemu menikmati suasana alam di Taman Aurora – taman indah yang wujud di dalam Istana Suriyan, tempat tinggal rasmi pemerintah Amariya.

“Arania.” Syakilla memecah sunyi.

“Ya.” Arania menjawab tanpa berpaling.

“Kau membisu sedari tadi.”

Bicara Syakilla hanya disambut dengan senyuman.

“Apa lagi yang bermain dalam fikiranmu saat ini?”  

“Banyak perkara yang aku fikirkan. Tentang masa depanku. Tentang tanah airku. Tentang Amariya. Apakah mampu aku menggalas segala tugas ini nanti? Dapatkah aku menanggung kesemuanya dipundakku?” Arania meluahkan kerisauan yang terpendam.

“Andai diberi pilihan, aku lebih rela memilih hidup sebagai marhaen.” Arania benar-benar gentar memikirkan perkara itu. Amariya akan menjadi tanggungjawabnya satu hari nanti. Jatuh bangun Amariya, akan terletak pada kebijaksanaannya mengendalikan kuasa. Itu bukan sesuatu yang boleh diambil mudah dan Arania tidak mempunyai pilihan.

Jauh di sudut hati, Arania mengidamkan kehidupan yang berbeza. Mahu ke mana saja tanpa sekatan. Hidup tanpa peraturan yang menyesakkan. Tiada yang mempersoalkan dan memerhati. Bebas memilih jalan hidup yang dia mahu, bebas bak burung berterbangan di langit. Namun, takdir telah memilih dia menjadi pewaris. Mahu atau tidak, bersedia atau tidak, rela atau tidak, dia harus menerima dan bersedia memegang tampuk kuasa.

“Kau tidak yakin akan dirimu sendiri?” Sengaja Syakilla menduga namun tidaklah sinis. Galau dan ragu yang dirasai oleh Arania dapat difahami. Sang Puteri bakal menginjak ke umur 21 tahun tidak lama lagi. Pada usia inilah, pewaris rasmi takhta Amariya akan mulai membiasakan diri dengan tugas-tugas dan mempelajari selok-belok pentadbiran negara. Ianya sebagai persiapan menjadi pemerintah Amariya apabila tiba waktunya.

“Entahlah. Mungkin…”

Syakilla tersenyum. “Kau adalah seorang yang bijaksana dan tajam fikiran, Arania. Ini diakui sendiri oleh guru dan pendeta kita. Aku mengerti akan risau dan galaumu tetapi, kau tidak harus tunduk kepada perasaan itu. Yakinlah kau mampu melakukannya.”

“Lagipun, kau dikelilingi oleh menteri dan pentadbir berwibawa, lagi berpengalaman. Mereka pasti akan memberi tunjuk-ajar tanpa berbelah bahagi. Dan, andai itu tidak mencukupi, apakah kau fikir, ayahanda dan bonda sanggup membiarkan dirimu terkontang-kanting sendirian tanpa haluan?”

Arania tidak membalas, tak perlu di jawab kerana ianya benar belaka. Bicara Syakilla kedengaran tegas namun terselit nasihat dan sokongan yang jitu. Sedikit sebanyak, pujukan sebegitu dapat menenangkan seketika jiwanya yang tak keruan.

“Bagaimana pula dengan kau, Syakilla? Sudahkah kau menyatakan hasratmu kepada ayahanda?” Arania pula bertanya.

“Sudah.” Syakilla mengangguk. “Ayahanda masih belum memberi kata muktamad. Tapi, aku benar-benar berharap, dia memberi keizinan kepadaku untuk menyertai barisan pertahanan. Menjadi srikandi, inilah yang paling aku mahukan. Memberikan seluruh jiwa dan raga kepada tanah airku. Menyumbang tenaga menjaga keamanannya. Dan memastikan Amariya ini akan terus aman dan makmur sentiasa.”

Begitu semangat sekali Syakilla berkata. Arania dapat merasakan kesungguhan dan tekad yang terkandung dalam tuturnya.

“Kadang-kadang, aku merasakan, kau jauh lebih layak mewarisi takhta Amariya. Semangatmu yang kuat, dan tekadmu yang sekeras keluli, amat mengagumkan. Kau jauh lebih berani dari aku.” Ujar Arania, tulus.

“Usah berkata begitu, Arania. Kau punyai kelebihan tersendiri. Takdir telah menentukan, kau adalah yang terpilih. Jangan sekali-kali kau menidakkan ketentuan-Nya.”

“Jika begitu, baiklah. Mari kita berdoa kepada-Nya, agar sentiasa dibawah rahmat dan perlindungan-Nya. Agar sentiasa diberi petunjuk pada jalan kebenaran. Agar hati ini tetap teguh. Demi bangsa dan tanah air kita. Demi kesejahteraan Amariya.” Ucap Arania.

Sejurus, mereka menadah tangan. Dalam diam memohon bersungguh-sungguh kepada Sang Pencipta sekalian alam. Tanpa ada sedikit pun keraguan pada kekuasaan-Nya. Yakin bahawa segala ketentuan pada mereka adalah hikmah dari-Nya.

Bunyi pelik dari arah belukar berdekatan membuatkan perhatian Syakilla terganggu. Selajur, dia membuka mata dan menegakkan badan. Pendengaran difokus agar lebih tajam.

“Bunyi apa itu?” Arania terlebih dahulu menyoal.  Syakilla tidak menjawab, hanya membuat isyarat supaya berdiam.

Perlahan-lahan, Syakilla mencapai busur dan anak panah. Kemudian, dia bangkit berdiri. Matanya memandang tepat ke satu arah, bersiap-siaga.

"Ada orang lain di sini." Ujar Syakilla.

“Mungkin pengawal?”

“Bukan.”

Syakilla meletakkan anak panah pada busur. Dengan langkah perlahan, dia maju ke depan. Matanya tajam memerhatikan sesuatu di sebalik rimbunan belukar.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 23-11-2017 11:02 AM | Show all posts
Edited by Nicki_Meow at 23-11-2017 08:53 PM

ANDRA mengundur ke belakang beberapa tapak sebelum berpaling untuk melarikan diri. Kehadirannya di balik belukar telah di ketahui oleh gadis-gadis itu. Ada satu suara dalam kepala menyuruh dia menjauhi mereka. Ketangkasan mereka dalam seni mempertahankan diri begitu mengagumkan. Dari persona dan penampilan, nyatalah gadis-gadis itu bukan sembarangan. Bayangkanlah jika tertangkap, masakan dia mampu melawan?

Andra terus berlari, semakin jauh ke dalam hutan kecil. Tidak tahu ke mana harus dia pergi. Tempat ini amat asing baginya. Malah, saat ini dia masih tidak tahu, bagaimana dia tercampak ke tempat ini.

ZAPPP.

Andra tersentak. Larian serta-merta terhenti. Anak panah itu betul-betul melalui sebelah pipi kanan, terus terpacak di pokok bersebelahan.

Uih, nasib tak kena. Boleh mati ni…

Andra tahu, dengan ketepatan seperti itu, bila-bila masa saja anak panah itu boleh menembusi tengkoraknya. Jelas sekali, pemanah itu tidak berniat membunuh.

“Siapa kau? Dan bagaimana kau boleh menceroboh masuk ke taman di raja?”

Suara itu betul-betul berada di belakagnya. Melarikan diri bukan lagi pilihan. Dengan satu tarikan nafas, Andra berpusing.

Terpegun.

Bukan kerana anak panah yang teracu pada mukanya tapi, oleh sepasang mata tajam bak helang, milik si pemanah itu. Begitu dalam renungannya, menusuk dan terus meninggalkan satu kesan aneh dalam hati. Persona yang ada padanya, membuatkan Andra terlupa akan dirinya seketika.  

“Macam bidadari.” Perkataan itu meluncur laju dari mulut tanpa disedari.

Wajah si gadis bermata bak helang kemerahan secara tiba-tiba. Tangan yang mengacu anak panah turut jatuh perlahan-lahan. Tatapan terkunci tanpa bicara. Lama.

“Syakilla!”

Muncul seorang lagi gadis yang tak kurang jelita mendekati. Semakin Andra terkesima, nganga. Terkebil-kebil lagi melihat dua gadis rupawan berdiri di hadapannya.

“Ah…Andra.”

Gadis rupawan yang baru hadir tadi bersuara. Anehnya, dari riak wajahnya, gadis itu kelihatan teruja dan terharu dalam masa yang sama.

“Akhirnya, setelah sekian lama, mahu juga kau keluar dari kamar.”

Tutur si rupawan itu lagi. Lagaknya begitu mesra, seolah-olah sudah lama mengenali Andra.

“Awak…siapa?” Soal Andra. “Awak pulak…siapa?”

Gadis-gadis itu saling berpandangan seketika.

“Nampaknya, dia masih belum pulih.” Ujar Syakilla. Arania walaubagaimanapun, tidak mengendahkan kata-kata Syakilla.

“Andra. Apakah kau tidak mengenali kami? Ini aku, Arania. Dan ini saudara kita, Syakilla.”

Andra memandang wajah Arania dan Syakilla, silih berganti. Pelik. Keliru. Semuanya berbaur membuatkan dia jadi tak menentu.

“Andra.”

Andra terasa tangannya diraih lembut oleh gadis yang menggelarkan dirinya Arania. Kerana terkejut, Andra merentap tangannya kembali.

“Hati-hati Arania.” Syakilla bersiap-siaga. Tangannya erat memegang panah dan busur.  Bimbang Andra akan bertindak diluar jangkaan.

“Tak usah khuatir. Andra tak akan mencederakan kita. Betul bukan, Andra?” Arania tersenyum mesra pada.

“Siapa Andra?” Soal Andra, keliru.

“Kau tidak ingat akan namamu sendiri?” Syakilla menyoal balas.

Andra merenung gadis bermata bak helang itu dengan kening berkerut. Kebuntuan bertambah mendengar gaya Bahasa gadis-gadis ini bertutur.

“Siapa aku? Siapa Andra? Korang ni siapa?” Di asak cemas dan bingung, Andra hilang kesabaran. Suaranya meninggi.

“Andra, apakah benar kau tidak ingat siapa dirimu? Kau tidak ingat langsung pada kami?” Arania pula bertanya.

“Tak.” Jawab Andra, bingung.  “Aku tak tahu. Serius, aku tak tahu. Confuse gila aku rasa ni.”

Syakilla dan Arania saling berpandangan seketika sebelum kembali memandang Andra.

“Tuturnya semakin aneh dari hari ke hari.” Syakilla berkata.

“Andra, adakah kau sedar, di mana kau berada sekarang?” Suara Arania lembut memujuk.

Andra memandang sekeliling. Kelihatan tempat ini seperti sebuah taman yang besar dan indah. Pohon-pohon renek nan rimbun, tumbuh di sekeliling kawasan umpama pagar. Pokok-pokok bunga pula mekar subur, dengan warna-warna terang menghiasi taman. Ada sebuah kolam kecil tidak jauh dari tempat dia berdiri.  

“Taman?” Jawab Andra.

“Benar, kau berada dalam taman.” Arania kekal tersenyum.

“Aku sangat gembira hari ini kerna, setelah sekian lama kau berkurung diri, akhirnya kau keluar juga dari kamar. Ayahanda dan bonda juga pasti gembira.”

“Ayahanda? Bonda?”

“Iya, Andra. Mereka pasti senang hati melihatmu.”

Mindanya kacau dan bercelaru. Andra memaksa otaknya berfikir dengan keras sehingga kepalanya mulai terasa sakit.

“Arrgghhh…” Jeritan kuat keluar dari mulut. Andra memegang kepalanya dan terus jatuh melutut. Matanya berpinar-pinar.

“Andra…”

Terasa pautan lembut di bahu dan lengan namun Andra tidak dapat memberi tindak balas. Sakit yang ditanggung tidak terperi.

“Andra…Andra.”

“Andra!”

Telinganya berdesing dan kemudian, pandangannya menjadi kabur, terus gelap.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 23-11-2017 11:06 AM | Show all posts
Edited by Nicki_Meow at 23-11-2017 11:45 AM

“Andra….”

“An…”

“Anaqi.”

“QI!”

Bahunya digoncang kuat. Bunyi berdesing yang dia dengar tadi telah hilang. Perlahan-lahan, Anaqi membuka mata.

“Kau apahal terbaring atas lantai ni?”

Anaqi tidak dapat berkata. Dia cuba memfokuskan pandangan, mengenal-pasti di mana dia berada kala ini. Sofa di satu sudut, kerusi, meja dan akhirnya, muka Luqman cemas berkerut.

Kafe. Aku kat kafe... Tapi...

“Kau dah kenapa?” Soal Luqman lagi.

Anaqi menggeleng. Dia menghulur tangan ke arah Luqman, meminta bantuan untuk bangun. Tidak berlengah, Luqman menggapai tangan Anaqi, menariknya supaya bangkit dan kemudian, membawa Anaqi duduk. Punggungnya dihenyak terus ke atas sofa.

“Kau okey tak ni?” Luqman bertanya, bimbang.

Tiada jawapan yang di beri. Telinganya masih berdesing cuma tidaklah sekuat tadi. Kepalanya berpinar. Perut pula terasa mual.

“Qi. Jom, aku bawak kau pergi klinik.”

Permintaan itu tidak diendahkan. Sebaliknya, Anaqi bangun dengan pantas menerpa ke pintu dan kemudian, bergegas keluar. Anaqi pecut ke tandas.

Segala isi perutnya di buang. Setelah puas mengeluarkan semuanya, Anaqi terduduk di atas lantai tandas. Tubuhnya lencun di basahi peluh. Nafasnya tercungap-cungap dengan dada berdebar-debar. Peristiwa yang baru berlaku tadi menyesakkan fikiran. Mimpi itu seperti benar-benar terjadi. Sentuhan dari gadis itu masih terasa hangatnya. Lirikan dari gadis bermata bak helang itu bagaikan terbayang-bayang di ruangan mata.

Arania.

Syakilla.

Andra.

Sukar dan takut untuk mengakuinya namun dia tidak dapat mengelak dari memikirkan sesuatu. Ada satu suara berbisik dari dalam kepala berulang-ulang kali mengatakan...engkaulah Andra.
Reply

Use magic Report

Post time 23-11-2017 12:52 PM | Show all posts
Nicki_Meow replied at 23-11-2017 10:40 AM
Hai Nay

Seriau pulak rasa tetiba bila Mod datang mencemar duli

nicki.. kenapa nay rasa cerita ni macam dejavu....
cerita mana yang related dengan cerita ni?
Reply

Use magic Report

Post time 23-11-2017 02:54 PM | Show all posts
wah..Andra

“Tak.” Jawab Anaqi, keliru.  “Aku tak tahu. Serius, aku tak tahu. Confuse gila aku rasa ni.”
Syakilla dan Arania saling berpandangan seketika sebelum kembali memandang Andra.
rasanya nicki kena tukar kot Anaqi tu kepad Andra

>>jadi Andra adalah Anaqi di alam Amariya, kan?

ada satu ayat tu..berbalik kuang
weh, aku ingat aku je guna ayat gitu kalau sembang dengan adik beradik aku..memang ada ya dalam bahasa?
Reply

Use magic Report

Post time 23-11-2017 03:29 PM | Show all posts
Patutlah rasa macam dejavu


Bukan Arania mati ke?
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 23-11-2017 08:51 PM | Show all posts
NaylaArisha replied at 23-11-2017 12:52 PM
nicki.. kenapa nay rasa cerita ni macam dejavu....
cerita mana yang related dengan cerita ni?
...

Actually, citer ni revised version
Atas nasihat Lady dgn Ipo, iols bukak thread baru utk dptkan pendapat dan khidmat nasihat. Jangan marah ek Nay...

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 23-11-2017 08:59 PM | Show all posts
Ipo replied at 23-11-2017 02:54 PM
wah..Andra

rasanya nicki kena tukar kot Anaqi tu kepad Andra

Typo... haha. Thanks. Nampak tak betapa aku memerlukan mata kedua,  ketiga, keempat dan seterusnya

Balik kuang tu kan sommersault berpusing (lompat berpusing kat udara)

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 24-11-2017 09:26 AM | Show all posts
Nicki_Meow replied at 23-11-2017 08:51 PM
Actually, citer ni revised version
Atas nasihat Lady dgn Ipo, iols bukak thread baru utk dptka ...

oic....
okay jer
tapi........... jangan gantung sudah
Reply

Use magic Report

Post time 24-11-2017 09:36 AM | Show all posts
Edited by ladyFinger12 at 24-11-2017 09:38 AM

Ok, done bab 4

mcm gini Nampak dah titik pertemuan dua alam aka demensi tu tp mcm bab sebelum ni, baru tengah membayangkan scene dlm bahubali tetiba tercampak lagi feel tu.

ini iols punya pandangan ya nicki...

tambahan: fefeeling 'love in the air' tu dah masuk n berjaya meresap. well done
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 27-11-2017 09:58 PM | Show all posts
ladyFinger12 replied at 24-11-2017 09:36 AM
Ok, done bab 4

mcm gini  Nampak dah titik pertemuan dua alam aka demensi tu tp mcm bab s ...

Noted.

Akan ada bab yg lebih panjang kat amariya nanti
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 27-11-2017 09:58 PM | Show all posts
NaylaArisha replied at 24-11-2017 09:26 AM
oic....
okay jer
tapi........... jangan gantung sudah

Akan ku coba
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 27-11-2017 10:00 PM | Show all posts
BAB 5
        
CAMPURAN minuman telah siap akhirnya. Nina membuka penutup pengisar dan kemudian, dengan berhati-hati, dia menuangkan isi ke dalam gelas bentuk bulat khas untuk  itu. Sebagai hiasan, topping cream disembur ke atas minuman dan seterusnya, Nina tambahkan sos coklat penaik selera. Minuman itu diletakkan di atas dulang. Pantas jari Nina membunyikan loceng, memberi isyarat dua gelas Iced Mocha siap sedia untuk dihidangkan kepada pelanggan Nickies Café.

Shima datang dengan senyuman. Tak berlengah, dulang itu di angkat, langsung membawa minuman tersebut kepada pelanggan. Nina memeriksa senarai pesanan, memastikan sekiranya ada lagi minuman yang perlu disediakan. Lelah dilepaskan seketika, lega kerana semuanya telah disiapkan. Nina memandang jam tangan. Pukul 3.30 petang. Pada waktu hari bekerja begini, memang kafe selalunya lengang. Ianya kembali sibuk pada pukul lima ke atas, kala waktu berkerja telah tamat.

Sambil mengelap kaunter yang comot sedikit dengan bekas-bekas air, sempat mata Nina menjeling ke satu arah. Di meja sudut kiri, betul-betul sebelah dinding kaca, duduk seorang lelaki bersendirian. Memang Nina tahu, meja sudut itu menjadi kegemaran majikannya melepak dan sesekali menyudahkan kertas kerja, andai bosan terperuk dalam ofis.   

Tingkah laku Anaqi diperhati senyap-senyap. Telefon pintar tergeletak atas meja, tak berusik. Sebaliknya, Anaqi termenung panjang, menembusi dinding cermin itu jauh entah ke mana. Badannya di sandarkan kerusi dengan tangan berpeluk tubuh. Hanya sesekali bertukar posisi, mungkin kerana lenguh. Wajah tampak mendung, sepertinya banyak masalah yang menghurung.

Hhmm…. Nina geleng sendiri. Nak memujuk, tapi belum tentu orangnya mahu dipujuk. Silap haribulan, dia pula kena tengking tak tentu pasal.

Nina teringat beberapa malam yang lepas. Ketika mahu pulang, datang pula seorang gadis dalam keadaan tergesa-gesa. Malam-malam begitupun masih elok bersolek cantik, persis artis terkenal. Dengan rambut beralun stail kepok-kepok buatan salun dan kasut tumit tinggi tiga inci, gayanya boleh tahan ranggi. Memang sampai ke kasut ditiliknya gara-gara rasa ingin tahu yang membuak, berbaur sedikit cemburu.

Kata Chef Luq, itu bekas teman wanita Anaqi. Tak tahulah macam mana boleh jadi bekas. Kalau nak ikutkan, sudah elok, sama cantik dan sama padan. Tak ada jodoh agaknya…

Berjodoh dengan aku kan best…

Nina menampar pipinya, perlahan. Ke situ pula dia berangan. Sungguh dia sedar diri. Masakan Anaqi boleh terpikat. Nak dibandingkan dengan teman wanita Anaqi yang persis artis itu, jauh dia tertinggal 10 tiang. Dia pun cuma berkerja sambilan di sini, mencari wang tambahan untuk menanggung perbelanjaan di kolej. PTPTN dan wang saku dari ibu ayah memanglah ada tapi, cukup-cukup makan. Maka, nak bergaya lebih sedikit, kenalah bekerja. Cuma, nak bergaya macam artis, memanglah tak dapat.  

Mata menjeling lagi. Anaqi sudah tak termenung, tapi sedang menatap telefon bimbit. Raut wajah nan suram mengundang belas kasihan. Walaupun suram, masih terserlah tampan dan segak.

Kalau dah suka, muka pecah rumah pun nampak kacak, ya tak?
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 27-11-2017 10:49 PM | Show all posts
“Usha bosslah tu.” Perli Shima tak semena-mena.

“Eh, mana ada…” Nina pantas menjawab, tersipu-sipu. Malu. Bila pulak minah ni muncul? Dalam pada itu, sempat lagi dia menjeling Anaqi.

Shima sengih.Walaupun tak pernah diluah, sikap Nina mudah ditelah. Jelas dan nyata, teman serumahnya dalam senyap menaruh minat pada Anaqi.

“Nina…Nina. Muka angau kau tu tak dapat nak sorok, okey? Dari tadi jeling-jeling…” Usik Shima.

“Nampak sangat eh?”

“Sangat!”

Nina terkekeh-kekeh gelak. Segan sebenarnya. Dalam masa yang sama, rasa lucu dengan perangai sendiri.

“Setakat admirer dari jauh, bolehler Yong. Nak berangan lebih-lebih, memang idokler teman ni ha. Mike tu tak pandang kut.”

“Hahaha. Mereputler kome, jadi anak dara tua.”

Mereka ketawa lagi. Nina langsung tak mengambil hati dengan usikan Shima. Sedar diri, mana mungkin Anaqi nak perasan, apatah lagi nak beri perhatian.

“Eh…tu.” Shima menyiku Nina. Kala lengang begini, seronok pula perhatikan orang.  “Kau tengok tu. Lain macam aje muka dia. Kenapa?”

“Entah.” Nina curi-curi pandang. Wajah Anaqi yang tadi mendung, kini berkerut. Jari begitu pantas menaip sesuatu di telefon pintar.

“Aku syak, dia gaduh dengan girlfriend.” Shima meneka.

“Girlfriend yang mana?”

“Ala…yang datang malam itu hari.”

“Itu bukan dah jadi ex ke? Takkan bergaduh lagi?”

“Manalah tau. Kut sambung, putus balik. Ada chancelah kau masuk line.Haha…”

“Hhmm.” Nina mencebik. “Mimpi ajelah.”

“Bukan dengan ex girlfriend tu. Masalah lain ni…”

Shima dan Nina serentak menoleh ke sebelah kanan. Masih lengkap dengan uniform Chef, Luqman sedang bersandar santai di kaunter, siap dengan kaki bersilang. Wajahnya nampak serius memerhatikan Anaqi.

“Eh…Chef.” Nina tak keruan. Kantoi pula mencuri tulang. Shima pula buat wajah selamba. Majikan yang ini tidak berapa tegas berbanding Anaqi. Paling lebih pun, Chef Luqman setakat membebel saja.

“Apa boss korang tu buat kat sini?” Soal Luqman. Semalam Anaqi kata, nak MC dua hari. Tiba-tiba, hari ni, muncul pula.

“Kenapa? Dia tak patut datang sini ke?” Shima bertanya kembali.

“Semalam kan dia…” Luqman memandang Shima. “Tak ada apalah.”

“Ala Chef…cakaplah. Kenapa dengan dia?” Nina separuh memujuk.

“Semalam dia kata, tak sihat. Nak MC. Tapi datang jugak hari ni. Tak faham aku.” Jawab Luqman, ringkas. Dia merasakan, lebih baik tidak bercerita lanjut tentang apa yang terjadi kepada Anaqi malam semalam.

" Kesiannya.” Nina menggumam perlahan, menaruh belas.

“Dahlah. Nina, kau pergi buat air.” Suruh Luqman.

“Air? Air apa?”

“Buatlah air apa-apa. Lepas tu, kau pergi hantar kat boss kesayangan kau tu. Nak ambil hatikan? Orang kata, nak pikat suami, kena pikat perutnya dulu…”

“Chefff!” Nina hampir menjerit. Segan diusik sebegitu rupa. Luqman sengih. Seperti Shima, dia juga sedar bahawa Nina sukakan Anaqi dalam diam. Saja dia mengusik Nina. Mana tau, berjodohan…

Luqman berlalu pergi dengan sengih perli. Nina memandang dengan bibir cebik. Hilang saja kelibat Luqman, Nina membuat minuman seperti yang di suruh.

“Shut up.” Ujar Nina kepada Shima yang tersenyum mengejek.

“Eh…aku tak cakap apa-apa pun.”

“Ha…bagus. Diam aje, jangan cakap apa-apa.”

Shima geleng dan tertawa kecil. Lucu melihat sikap Nina yang kebudak-budakan. Beria betul buat air. Takpelah babe. Janji happy…

Siap saja Latte, Nina letakkan secawan minuman itu ke dalam dulang. Lengkap dengan lakaran beruang comel atas milkfoam. Berdebar-debar pula rasa nak pergi hantar. Macam gedik sangat pula. Tapi dikuatkan juga semangat. Lagipun, hantar air saja, tak ada berlebih-lebihan. Mana tau, asbab air Latte ini, Anaqi jatuh hati. Walaupun harapan nampak tipis, tapi tak salah mencuba.

Berangan aje aku ni. Nina geleng.

“Aku pergi eh?” Nina pandang Shima. Shima angguk, separuh hati memberi sokongan.

Dengan cermat, Nina mengatur langkah bersama secawan Latte. Semakin dekat dengan Anaqi, semakin dia jadi tak tentu arah. Menyesal pula mengikut nasihat Chef Luq tadi. Rasa nak patah balik pun ada…

Susuk tubuh Anaqi semakin dekat. Wajah Anaqi yang suram berkerut semakin jelas dan akhirnya, Nina berdiri berhadapan dengan Anaqi. Senyum manis ditampal pada bibir.

“Hai boss. Chef Luq kata boss tak sihat. Saya…” Nina meletakkan cawan Latte ke atas meja. “Saya buatkan boss air…”

Nina mengharapkan, paling tidak pun Anaqi akan tersenyum lantas mengucapkan terima kasih. Sebaliknya, perkara lain pula yang terjadi. Anaqi mengangkat muka ke arahnya dengan wajah berang dan bengang. Dan kemudian, tanpa mengucapkan walau sepatah kata, Anaqi bangun dan meninggalkan Nina di situ begitu saja.

Nina melihat Anaqi bergegas pergi. Dia juga tak terkata apa-apa. Rasa kecewa perlahan-lahan menyeruak di jiwa, bercampur rasa malu. Niat Nina hanyalah mahu mengambil hati. Mana nak tahu, hati dia pula yang ranap. Anaqi langsung tak mengendahkannya.

Dalam sebak menahan malu, Nina mencapai kembali cawan Latte yang di buat istimewa untuk Anaqi. Rawan hati melihat betapa comel beruang itu tersenyum… tapi tak dihargai.

Reply

Use magic Report

Post time 27-11-2017 10:59 PM | Show all posts
my komen.
>>suka dengan olahan ayat.

>>aku bayangkan si Nina dan Si Anaqi


This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-11-2017 12:04 AM | Show all posts
Edited by Nicki_Meow at 30-11-2017 05:43 PM

ANAQI bagai lupa diri seketika, menggumam-gumam sendirian tanpa menghiraukan mata-mata yang memandang. Dia berjalan pantas, menolak kuat pintu pejabat yang terletak di bahagian belakang kafe dan terus masuk. Punggung di henyak atas kerusi. Dia menanti dengan kesabaran senipis kulit bawang. Lima saat, 10 saat, 15 saat. Tiada balasan mesej yang diterima. Terus, Anaqi mengambil keputusan untuk menghubungi pemilik nombor yang tak dikenali, yang telah menaikkan darahnya sebentar tadi.

Munculnya tiba-tiba. Tanpa mukadimah, tanpa pengenalan.

Nombor tak bernama itu didail. Ianya berbunyi panjang tanpa ada yang menyambut dan akhirnya, ia berhenti begitu saja. Sungguh menyakitkan hati. Anaqi mendail untuk kali kedua. Lebih malang, telefon bimbit telah di matikan. Hampir-hampir saja Anaqi melempar telefon pintarnya dek kerana geram. Sedikit sumpah seranah terkeluar dari mulut.

Anaqi tunduk, menampung kepalanya dengan tangan. Nafas dihela, cuba meraih tenang. Akhirnya, Anaqi menyandarkan badannya ke belakang. Otaknya ligat berfikir, siapa pemunya nombor telefon itu dan apa tujuannya meninggalkan mesej sebegitu. Ayat terakhir dari pemilik nombor misteri itu menghantui segenap minda.

Dunia yang sepatutnya tersembunyi, telah di jumpai. Sempadan dimensi kini terbuka. Kerana kesilapan kau, gerbang itu terdedah kembali. Kau harus bertanggungjawab atas segalanya.

Gerbang? Dimensi? Persoalan itu itu berlegar-legar di benak.

Seketika, nama-nama dan wajah mereka dari mimpinya mulai menjengah fikiran.
Amariya.
Amsyar.
Zulkhan.
Syakilla. Wajah gadis bermata tajam bak helang itu paling lama singgah di ingatan.

Apakah ianya saling berkait antara satu sama lain? Anaqi cuba mencantumkan kepingan maklumat yang ada namun, semuanya tidak memberi apa-apa petunjuk. Di paksa otaknya bekerja keras, sehingga kepala terasa sakit berdenyut.

Pintu pejabat terbuka secara tiba-tiba. Anaqi mengangkat kepala.

“Qi.” Luqman menyapa. “Ha. Betullah Nina cakap kau ada kat sini.”

Anaqi membisu seribu Bahasa.

“Kau sihat ke tak ni? Semalam kata nak mc.”

Anaqi memandang Luqman. Betapa dia ingin sekali bercerita kepada sahabatnya itu, tentang perkara pelik yang di alami namun agak skeptikal dengan penerimaan Luqman nanti.

“Aku datang nak ambil ni.” Anaqi menunjukkan laptop biru milik arwah Adif yang berada di atas meja. Semalam, kerana tidak berdaya, laptop itu ditinggalkan saja di ofis.

“Kau okey tak?”

“Tak berapa.”

Luqman angguk perlahan.

“Baliklah, bro. Rehat.” Saran Luqman.

Anaqi angguk. Tak di suruh pun dia memang nak beransur. Tujuan dia datang ke kafe hanya satu - mahu mengambil kembali laptop Adif. Telefon pintar dimasukkan ke dalam poket jeans. Sebelah tangan lagi menggapai laptop biru.

“Chow.”

Ujar Anaqi sebelum berlalu pergi.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 28-11-2017 12:07 AM | Show all posts
Ipo replied at 27-11-2017 10:59 PM
my komen.
>>suka dengan olahan ayat.

Thanks Po. Banyak nak kena asah sebab lama bebenor tak mengarang

Coffee prince eh? Yg versi melayu takmoh letak?
Reply

Use magic Report

Post time 28-11-2017 09:32 AM | Show all posts
Nicki_Meow replied at 28-11-2017 12:07 AM
Thanks Po. Banyak nak kena asah sebab lama bebenor tak mengarang

Coffee prince eh? Yg  ...

Hero versi melayu kahwin dahhh...

@UsuFie dah boleh join bod writers. Confirmed selamat dah
Reply

Use magic Report

Post time 28-11-2017 10:04 AM | Show all posts

okay ... jangan lak bertapa lepas 2 tahun baru muncul balik
Reply

Use magic Report

Post time 30-11-2017 11:21 AM | Show all posts
Nicki_Meow replied at 23-11-2017 08:51 PM
Actually, citer ni revised version
Atas nasihat Lady dgn Ipo, iols bukak thread baru utk dptka ...


patut rasa mcm pernah baca sebelum ni..

kiranya rev-1 la ni yer..
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-6-2024 09:29 AM GMT+8 , Processed in 0.200679 second(s), 43 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list