Kalau di Malaysia ni, susah nak jumpa orang yang tak suka durian.
Aromanya yang terkadang kurang enak dan begitu menyengat rongga hidung menyebabkan buah ini dilarang dibawa ke dalam hotel, pesawat dan beberapa lokasi tumpuan tertentu.
Pun begitu, bagi penggemar raja buah itu, aromanya bukan masalah besar. Malah, segelintir penggemar mendapati baunya sangat 'harum' dan menggamit mereka menikmatinya.
Tapi kan, pernah tak terlintas di dalam fikiran anda dari mana datangnya bau kuat itu?
Memetik Astro Awani, pakar sains di Singapura membuat kajian untuk mengenal pasti punca bau pada durian secara saintifik.
Foto: Health Fitness Revolution
Timbalan Pengarah Kajian di Pusat Kanser Kebangsaan Singapura (NCCS) Prof Bin Tean Teh berkata, pasukan penyelidik telah membuat kajian dan mereka menemukan 46,000 genetik pada durian.
"Malah, kajian juga mendapati asal usul durian adalah daripada pokok koko dan 'berkemungkinan' dijadikan coklat," katanya sepertimana dipetik dari portal The Straits Times.
Selain itu, empat genetik serupa iaitu Methionine Gamma Lyases (MGL) turut ditemui pada durian, koko dan kapas di mana genetik berkenaan mendorong penghasilan bau kuat yang dikeluarkan raja buah.
"Ini memberi petunjuk pertama kepada kami bahawa MGL benar-benar menghasilkan bau yang sangat kuat," katanya.
Sementara itu, Australia Plus melaporkan Bin sebagai berkata, penemuan MGL pada durian sangat penting bagi perkembangan raja buah itu dalam industri buah-buahan.
Foto: World of Buzz
Tambahnya, mereka boleh menjalankan eksperimen dengan kaedah tertentu dalam usaha mengurangkan genetik MGL bagi membuang bau kuat pada durian.
Kalau dah berjaya nanti, bolehlah agaknya bawa balik durian menaiki pesawat sebab dah tak ada bau kan. Tapi, kalau dah tak ada bau bagaimana dengan rasanya? Tak terjejas ke? - CARI |