|
sumber : Berita Harian
Satu lagi berita baik dalam pungutan pingat emas buat kontinjen negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Ini kerana Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berjaya membantu skuad negara menambah koleksi emas selepas menjuarai kategori individu dalam acara endurance (kuda lasak) Sukan SEA ke-29 di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong, Setiu di Terengganu pagi tadi.
Baginda melengkapkan trek bagi acara 80 kilometer dengan catatan masa 3 jam 48 minit 38 saat.
Sultan Mizan yang menunggang kuda bernama RTES Annaversary mencatatkan jumlah purata kelajuan 20.994 kilometer sejam sekali gus melebur rekod lama yang dipegang Sulaiman Muda dalam temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar menerusi 6 jam 26 minit dan 04 saat.
Seorang lagi penunggang, Mohd. Bulkhari Rozali pula muncul naib johan dengan catatan masa 03:48:40.
Sebelum ini Sultan Mizan dilaporkan menarik diri daripada temasya itu kerana kudanya kurang cergas untuk bertanding dalam acara kuda lasak tersebut.
sumber : Malaysiakini
Manakala satu lagi emas disumbang dalam kategori berkumpulan menerusi Mohammad Fuad Hashim, Azizatul Asma Abdullah dan Mohd. Adhwa Embong dengan catatan masa 11 jam 31 minit dan 30 saat.
Antara pasukan yang mengambil bahagian dalam acara tersebut iaitu Thailand, Singapura, Kemboja, Brunei dan Malaysia.
Setakat ini, negara kita kekal menduduki di tangga teratas dalam senarai pungutan pingat secara keseluruhan dengan memiliki 10 emas, 9 perak dan 8 gangsa. - CARI |
|