Perkahwinan yang berlangsung antara Tunku Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim dengan pasangannya Dennis Muhammad Abdullah pada 14 Ogos lalu masih menjadi sebutan rakyat jelata sampai sekarang.
Bukan hanya disebabkan statusnya sebagai kerabat diraja, sebenarnya ada banyak perkara yang menarik dan istimewa tentang majlis perkahwinan puteri cantik ini.
Kalau tak percaya, tengok sahaja perkara pertama yang paling menonjol iaitu 'look' atau solekan semasa majlis resepsinya.
Foto: Saidatulnisa Aminuddin
Ringkas, malar sepanjang zaman, segar dan berseri, hasil dari sentuhan magis jurusolek profesional yang dikenali sebagai Saidatulnisa Aminuddin. Wanita ini memang sudah lama berpengalaman menyolek selebriti dan golongan kenamaan.
Ditambah pula dengan diri Tunku Aminah sendiri yang memang suka pada kesederhanaan, maka terhasillah penampilannya yang begitu anggun dan menawan sekali pada hari bahagia. Tak memerlukan aksesori palsu atau kanta lekap berwarna, tapi cukup membuatkan dirinya tampil sempurna.
Foto: Saidatulnisa Aminuddin
Apa yang lebih istimewa? Tengok busana pengantin Tunku Aminah pula. Ramai yang cakap walaupun nampak ringkas tapi sebenarnya harganya mahal dan ditempah dari pereka fesyen terkenal.
Salah sama sekali sebab ianya direka khas oleh ibu saudaranya sendiri yang juga Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
Kain Tenun Pahang yang digunakan untuk menghasilkan busana tersebut ditenun sendiri oleh banduan Penjara Penor.
Foto: Twitter
Tak cukup lagi, pelamin paling ringkas abad ini sebab hanya satu kerusi diletakkan selain frame surah al-Fatihah yang digantung di belakangnya.
Foto: The Royal Johor
Bagaimana? Kupasan demi kupasan tentang di sebalik majlis perkahwinan ini mesti akan membuat diri anda kagum dengan keperibadian Tunku Aminah sendiri.
Ini antara komen netizen yang rata-ratanya bangga dengan sikap merendah diri puteri raja ini, tapi biasalah mesti ada juga kata-kata yang negatif.
Apa pun kalau perasan, sebenarnya perkahwinan Tunku Aminah ini menyampaikan mesej yang cukup besar kepada rakyat biasa seperti kita.
Perkahwinan bukan bermakna menunjukkan kemewahan, sebaliknya ikatan suci yang dijalin antara dua jiwa, jauh lebih berharga dari nilai pelamin dan hantaran itu sendiri.
Kalau puteri raja pun sudah menurunkan penanda aras begini, takkan kita sebagai rakyat marhaen tak sedar diri lagi? -CARI |