|
SEREMBAN: Seorang pemandu lori tangki membawa muatan asid maut selepas kenderaan itu terbalik ketika mengelak sebuah kereta terbabas di Kilometer 251.6 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 3.22 pagi di susur masuk Plaza Tol Senawang itu, Surazru Mohamed Sakeri, 37, maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan dalaman.
Bagaimanapun, Jabatan Bomba dan Penyelamat, tidak menolak kemungkinan mangsa maut akibat terhidu gas beracun berikutan tumpahan asid dari lori tangki dipandunya.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Pegawai Bomba Kanan II Zainurin Sharif, berkata empat jentera dengan 20 anggota serta pegawai, termasuk pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dihantar ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba, kita segera mengeluarkan pemandu lori yang membawa 25,000 liter asid itu dan mendapati dia sudah meninggal dunia.
"Dua wanita berusia 30-an, iaitu pemandu dan penumpang kereta yang terbabas itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini kerana mengadu pening, berkemungkinan akibat terhidu asid," katanya.
Beliau berkata, mayat pemandu lori terbabit dihantar ke HTJ untuk bedah siasat.
Setakat jam 8 pagi tadi, katanya, pasukan HAZMAT masih membuat kerja pembersihan tumpahan asid di kawasan itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Sumber : http://www.bharian.com.my/berita ... -akibat-gas-beracun |
|