|
Sepanjang tempoh satu bulan yang lalu, enam warga tempatan yang dipercayai terlibat dengan aktiviti kumpulan militan Daish berjaya ditangkap dalam operasi khas di Kelantan, Selangor, Melaka, Johor, dan Pulau Pinang.
Bagaimanapun, masih terdapat seorang anggota kumpulan militan IS yang amat dikehendaki masih dalam buruan pihak polis.
Ketua Polis Negara,Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini memberitahu, antara 24 hingga 25 Mac lalu, Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan empat lelaki dan dua wanita warga Malaysia yang disyaki terlibat dengan aktiviti kumpulan militan Daish.
Kesemua suspek ditahan di bawah Bab VIa - kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).
Khalid turut memaklumkan, sebelum itu, seorang suspek penyeludupan senjata api yang menganggotai kumpulan sama dilapor telah melarikan diri ke selatan Thailand dengan melalui Sungai Golok pada 22 Mac lalu.
Anggota kumpulan militan IS yang berbahaya itu dikatakan membawa bersama sepucuk pistol dan M4 Carbine dan pihak polis sedang giat memburunya.
Suspek dikenal pasti sebagai Muhammad Muzaffa Arieff Junaidi, 27 tahun, dan beralamat terakhir di Rantau Panjang, Kelantan.- CARI
|
|