Selepas berumah tangga dan bergelar bapa kepada seorang cahaya mata, nama pelakon dan pengacara Fahrin Ahmad agak sepi dari bidang lakonan. Bukan tiada tawaran berlakon, sebaliknya, Fahrin,38, memperlahankan aktiviti seninya selama enam bulan sejak kelahiran anak sulungnya, Khalifa Fahrel pada 29 September tahun lalu. “Saya baru bergelar bapa dan pastinya saya tidak mahu terlepas melihat anak sulung kami ini membesar depan mata pada peringkat awal usianya. “Sepanjang tempoh berehat itu, saya membantu isteri Elena Hani Eleas sejak awal kehamilan hinggalah dia selamat melahirkan anak kami,” katanya. Fahrin juga berkongsi pengalaman ketika menjaga anaknya itu yang kini berusia enam bulan. “Pada peringkat awal, saya terpaksa bangun tengah malam untuk menukar lampin pakai buangnya. Kini, apabila dia berusia enam bulan, saya terpaksa berjaga jam 12 tengah malam pula kerana dia mengajak saya bermain dengannya pula,” katanya. Fahrin berkata, dia juga mahukan isteri memberi fokus pada anak mereka yang masih kecil. “Bayi kami juga menyusu badan sepenuhnya dan kalau boleh, saya memang tidak tidak mahu anak kami dijaga pengasuh. “Sebab itu, saya tidak kisah isteri berhenti kerja untuk memberi sepenuh perhatian pada anak kami di rumah,” katanya. Fahrin dan Elena berkahwin pada tanggal 9 Mei 2015 di Pusat Konvensyen Sime Darby Mont Kiara, Kuala Lumpur. Bagaimanapun, kata pelakon yang menempa nama menerusi filem Pilot Cafe ini, banyak program dan drama lakonannya akan ditayangkan sempena Ramadan nanti. Kali terakhir dia berlakon menerusi drama Kerana Anisa bergandingan dengan Zara Zya tahun lalu. “Saya percaya masih boleh bertahan selepas 15 tahun berkecimpung dalam bidang seni. Saya juga banyak terbabit sebagai hos dalam program TV antaranya Mencari Ramli dan Bakat Luar Biasa. “Selain itu, ada tiga projek telefilem dan drama bersiri yang menanti tarikh tayangan di kaca TV pada tahun ini,” katanya.
Tidak suka kongsi gambar anak berlebihan di laman sosial Jika ramai selebriti lain membuka akauan Instagram anak mereka, Fahrin pula hanya berkongsi gambar Khalifa Fahrel di Instagram apabila perlu saja. Fahrin berkata, dia juga tidak mahu memuat naik gambar anaknya di Instagram secara berlebihan. “Anak saya juga tidak mempunyai akaun Instagram sendiri. Jika peminat mahu melihat perkembangan anak, mereka boleh melihatnya di Instagram saya dan isteri. “Kami juga akan mempertimbangkan kalau ada pihak yang berminat untuk mengambil anak kami menjadi model, duta dan sebagainya,” katanya.
|