Tanpa disedari buat seorang wanita berusia 42 tahun dari India, selesema yang dialaminya adalah disebabkan seekor lipas yang menyusup masuk ke rongga hidungnya.
Selvi yang tinggal di Injambakkam memaklumkan, dia terjaga dari tidur kerana hidungnya terasa gatal sehingga menyebabkan sakit kepala.
Pada awalnya, Selvi menyangka dia mengalami selesema, bagaimanapun hidungnya makin berasa tidak selesa kerana seperti ada ‘sesuatu’ yang bergerak.
Kemudiannya, wanita berkenaan ke Hospital Kolej Perubatan Stanley di Chennai dan hasil pemeriksaan doktor menemui seekor lipas yang masih hidup dan bergerak di dalam hidungnya.
Doktor M N Shankar yang menggunakan alat endoskop berkata, lipas itu berada di dalam tengkorak antara dua mata, berhampiran dengan otak dan ia merupakan kes pertama yang ditemuinya sepanjang tiga dekad menjadi doktor.
“Lipas itu masih hidup dan enggan keluar dari rongga hidung pesakit. Apabila cuba ditarik keluar, menggunakan penyepit, serangga itu menggunakan 'duri' kakinya untuk berpaut pada tisu dalam rongga hidung.”
Bagaimanapun, lipas itu berjaya dikeluarkan selepas 45 minit.
“Jika dibiarkan, saya percaya lipas itu akan mati tetapi ia akan menyebabkan jangkitan pada otak,” kata Dr Shankar. - CARI