Bersempena dengan keberangkatan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke Istana Negara di Kuala Lumpur esok, rakyat Kelantan akan berbaris di sepanjang jalan antara Istana Negeri, Kubang Kerian dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.
Sumber foto: Malaysia Outlook
Menurut Bernama, Pengelola Istana Diraja Kelantan, Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir dilaporkan berkata, lebih 11,000 orang dijangka membanjiri laluan sepanjang 14 kilometer itu seawal jam 7 pagi.
"Dari Istana Negeri, kenderaan yang dinaiki baginda akan melalui Jalan Sultan Yahya Petra, Jalan Pekeliling dan Jalan Tok Guru seterusnya ke lapangan terbang," katanya kepada Bernama.
Dalam masa sama, persembahan kebudayaan tradisional akan turut diadakan di 11 lokasi di sepanjang laluan itu, kata Nik Pakheruddin.
Tambah beliau, istiadat itu akan bermula dengan pemeriksaan kawalan kehormat merangkumi 107 anggota dan tiga pegawai Rejimen Artileri Diraja sejurus keberangkatan tiba Sultan Muhammad V di Istana Negeri pada jam 7.15 pagi.
Nik Pakheruddin berkata, baginda dijadual berlepas ke Kuala Lumpur dengan pesawat khas pada jam 8.30 pagi diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Ketua Negara dan digantikan dengan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuat kuasa esok bagi tempoh lima tahun. - CARI |