Bukan mudah bagi perokok tegar mahu menghilangkan ketagihan merokok. Namun, perkara itu tidak menjadi penghalang bagi Datuk Hattan yang kini sudah lima bulan tidak merokok.
Sumber foto: mStar Online
Hattan atau Mohd Shukri Shahabuddin, 52, bagaimanapun mengakui bukan mudah menahan keinginan untuk kembali kepada tabiat merokok. Pada bulan pertama dia meninggalkan rokok, badannya menjadi lemah selain perasaan gian menguasai diri.
"Memang badan rasa sangat lemah mungkin kerana tiada nikotin dalam badan namun saya tetap bertahan dan nekad dengan keputusan dibuat.
"Alhamdulillah selepas lima bulan meninggalkan tabiat merokok, saya semakin bersemangat dan perasaan gian sudah berkurangan," katanya kepada mStar Online.
Menurutnya, lebih kurang RM34 diperlukan dalam sehari untuk membeli dua kotak rokok dan secara purata, sekitar RM1,000 sebulan dihabiskan untuk tujuan itu.
Dalam lima bulan itu, Hattan akan mengasingkan RM34 setiap hari dan dimasukkan ke dalam tabung bagi mengingatkan dirinya supaya tidak membeli rokok.
"Setiap hari seperti biasa saya akan mengeluarkan RM34 daripada dompet untuk dimasukkan ke dalam tabung dan Alhamdulillah selepas lima bulan ia semakin banyak.
"Wang berkenaan saya simpan untuk berikan kepada anak saya, Adam untuk dia membeli barang yang dia mahukan dan itu adalah lebih baik daripada saya membeli rokok," ujarnya.
Kan bagus kalau semua perokok berfikiran seperti Hattan. Dengan berhenti merokok, kesihatan lebih terjaga selain menjimatkan perbelanjaan harian. Semoga Hattan tidak lagi menoleh ke belakang dan kembali merokok. - CARI |