|
Bayangkanlah betapa terkejutnya anda jika anda seorang pengunjung setia di sebuah kedai roti dan ternampak kelibat 'Cik Ti' sedang 'melahap' roti yang baru sahaja dikeluarkan dari pembakar.
Inilah realiti yang berlaku di Mid Valley apabila sebuah francais kedai roti Jepun terkenal di Mid Valley Megamall, Komugi, 'dikunjungi' seekor tikus.
Kejadian ini dimuatnaik di Facebook oleh seorang pengunjung yang dikenali sebagai Melon dan ia mendapat lebih 4000 'shares' pada masa artikel ini ditulis.
Walaupun tidak menyatakan nama kedai tersebut, kedai itu mudah dikenali netizen kerana mereka mengenali reka bentuk tingkap kedai itu selain ia merupakan sebuah kedai yang sememangnya terkenal di kawasan Lembah Klang.
Melon mendakwa, dia melaporkan isu itu kepada salah seorang staf Kedai berkenaan sebaik sahaja terlihat kewujudan tikus tersebut dengan harapan mereka akan lebih berhati-hati kelak.
"Saya keracunan makanan selepas memakan puding mereka pada Tahun Baru Cina baru-baru ini. Saya telah memaklumkan mereka insiden berkenaan, namun tiada tindak balas sehinggalah saya 'spam' mereka. Bagaimanapun, mereka hanya menawarkan saya kek Hanjuku Cheese sebagai ganti rugi," katanya.
Selain itu, forumer di CARI juga menyuarakan pendapat mereka mengenai isu membabitkan kesihatan pengguna dan orang ramai.
"Dalam display rack boleh lepas masuk, bayangkan dalam dapur. Beranak pinak," kata seorang forumer Cari bernama syabaswater.
"Itu yg terdedah yg kita tahu ,yg berahsia sampai ke kubur kita xtahu," seorang lagi netizen, HannahMontana, menyuarakan pendapatnya.
Isu viral itu bagaimanapun mendapat jawapan balas daripada pihak Komugi Malaysia tetapi komen itu dipadam segera tidak lama selepas ia ditulis. Walau bagaimanapun, seorang netizen bernama Wee pantas bertindak mengambil 'screenshot' komen itu untuk dikongsi orang ramai.
Melalui jawapan balas itu, Komugi Malaysia menyatakan pihaknya telah melaporkan insiden itu kepada pihak pengurusan Mid Valley. Namun, jawapan itu mendapat kecaman netizen kerana Komugi Malaysia menunjukkan ketidakcekapan mereka dalam menangani krisis.
Sumber foto: FB Melon
Apa yang lebih mengejutkan dan membangkitkan kemarahan orang ramai adalah ayat "Ini adalah sebuah isu yang diketahui umum." Adakah mereka memaksudkan bahawa haiwan perosak itu sudah lama mendiami kedai dan mencemar makanan mereka?
Motif Komugi Malaysia memadam komen jawpan balas mereka masih tidak diketahui. Apapun, orang ramai mengharapkan mereka segera bertindak menyelesaikan isu itu. Selepas membaca artikel ini, adakah anda masih akan mengunjungi kedai itu? - CARI |
|